Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Dis – Mohd Baharin Hamidon tampil wira pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) apabila jaringan tunggal beliau menempatkan MS ABDB sebagai juara berganda bagi musim 2016 dan juara tujuh kali bagi Piala FA DST Brunei 2016 di Kompleks Sukan Berakas hari ini.
Beliau yang mendapat hantaran daripada rakan sepasukan di dalam petak D menolak masuk bola jauh daripada gapaian penjaga gol Najip I-team, Philip Ron Junior yang terpaksa melayangkan badan berusaha mengekang percubaan itu pada minit ke-3 perlawanan akhir berkenaan.
Separuh masa pertama banyak dikuasai pasukan MS ABDB yang turut mencipta dua peluang keemasan di hadapan gol namun kedudukan kekal 1-0 sehingga ke akhir perlawanan sementara babak kedua perlawanan pula menyaksikan pasukan Najip I-Team banyak mengasak ke kubu pertahanan MS ABDB namun tidak Berjaya.
Pengurus pasukan MS ABDB, Mejar (U) Razanol Hardi bin Abdul Razak dalam temu bualnya menegaskan para pemain menunjukkan semangat juang dan daya siang yang tinggi dan jangkaan beliau akan corak permainan pihak lawan.
“Meskipun begitu kami bersyukur ke atas kejayaan hari ini dan pada saya apa yang lebih penting adalah misi mempertahankan kejuaraan pada tahun hadapan” ujarnya lagi sebelum mengulas mengenai kedudukan beliau pada musim akan datang,
Menurutnya, kejohanan kali ini adalah yang terakhir baginya sebelum diganti dengan calon baru pada musim hadapan semenjak mula memegang jawatan pengurusan pada tahun 2015 dan katanya pengalaman kali ini adalah yang termanis.
“Saya sangat menghargai semua pemain kerana memberikan corak permainan yang baik dan sememangnya pada saya semua pemain sejak awal penglibatan menunjukkan permainan yang jauh lebih baik” tegasnya lagi.
Padanya meskipun pasukan kali ini menjuarai kejohanan akan tetapi pastinya pasukan lawan akan membaca corak permainan MS ABDB dan beliau berharap pasukan akan terus menunjukkan peningkatan .
Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah di akhir majlis hari ini adalah Pemangku Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad selaku tetamu kehormat.