Tuesday, September 25, 2012

Indera SC, MS ABDB bertemu di final

Indera SC, MS ABDB bertemu di final

Oleh Hasrulraizan

Indera SC menang bergaya 6-3 ke atas Arbisyam FC untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Futsal Red Bull NFABD 2012.


MS ABDB bangkit menjaringkan dua gol pada minit ke-36 dan ke-37 bagi menang 2-1 ke atas Kota Junior sekali gus mara ke final Liga Juara-Juara Futsal Red Bull NFABD 2012.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept - Perlawanan akhir Liga Juara-Juara Futsal Red Bull NFABD 2012 akan menyaksikan pertemuan di antara Indera SC dengan Majlis Sukan (MS) Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), manakala perlawanan penentuan tempat ketiga pula adalah di antara Arbisyam FC dengan Kota Junior.
Perlawanan separuh akhir malam ini menyaksikan kebangkitan kedua-dua finalis dari ketinggalan sebelum berjaya meraih tempat di final terutama sekali Separuh Akhir Kedua yang penuh dramatik di 7 minit terakhir perlawanan yang menyaksikan 3 gol dijaringkan, manakala 4 gol dijaringkan dalam Separuh Akhir Pertama di 6 minit terakhir perlawanan.

Arbisyam FC bermula cemerlang dengan jaringan pertama di minit pertama melalui Muhd Rifdi, namun segera kedudukan menjadi seri semula selang seminit kemudian apabila Awangku Md Naqib menghukum kealpaan pertahan Arbisyam FC bagi menjaringkan gol pertama Indera SC.

Bagaimanapun Abdul Mansur Jalilah mengembalikan semula Arbisyam selaku peneraju perlawanan melalui jaringannya di minit ke-10, namun separuh masa pertama berkesudahan 2-2 apabila Awangku Md Naqib sempat menjaringkan gol kedua peribadi dan pasukannya pada minit ke-19.

Pada perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Awangku Md Naqib menyempurnakan hatriknya seminit bermulanya separuh masa kedua bagi Indera SC sekaligus menjadikan pasukannya buat pertama kalinya mendahului perlawanan dengan jaringan 3-2.

Tatkala perlawanan menjadi seimbang selepas itu, Junaidi memecahkan kebuntuan pada minit ke-34 bagi gol keempat Indera SC, sebelum Norazizam menjadikan kedudukan bertambah selesa 5-2 menerusi jaringannya di minit ke-36.

Seminit sebelum berakhirnya perlawanan menyaksikan dua gol lagi dijaringkan, satu gol oleh Shahaminur untuk Arbisyam FC, manakala satu gol lagi oleh Muhd Ulfi bagi gol keenam Indera SC, sekaligus memuktamadkan perlawanan berpihak kepada Indera SC 6-3.

Separuh Akhir Kedua antara Kota Junior dengan MS ABDB pula bermula perlahan dengan babak pertama berakhir tanpa jaringan, begitu juga di babak kedua sehinggalah di minit ke-33 apabila Ketua Pasukan Kota Junior membawa pasukannya ke depan 1-0.

Jaringan itu menyedarkan MS ABDB yang kembali bangkit dengan dua gol pantas pada minit ke-36 dan ke-37 bagi menterbalikkan keputusan berpihak kepada mereka, dan selepas itu kental mempertahan pendahuluannya sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil bagi menghantar angin kekecewaan buat Kota Junior.

No comments:

Post a Comment