Search This Blog

Wednesday, January 9, 2013

Cabaran Liga Super diteruskan


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan - Minggu Keempat Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan bermula pada Jumaat, 11 Januari ini sehingga Selasa, 15 Januari berselang-seli antara dua padang iaitu Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) dan Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Apa yang menarik di dalam jadual yang baru dikeluarkan hari ini berkenaan ialah hanya perlawanan pada Jumaat, 11 Januari saja sepak mulanya bermula seperti biasa pada pukul 8:15 malam, manakala perlawanan-perlawanan pada Sabtu, 12 Januari, Ahad, 13 Januari, Isnin, 14 Januari dan Selasa, 15 Januari akan bermula pada pukul 9:00 malam.

Menurut NFABD dalam kenyataannya, perlawanan-perlawanan yang jatuh dalam tarikh 12-24 Januari, kesemuanya akan bermula pukul 9:00 malam bagi menghormati Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wassalam yang akan diadakan pada malam tarikh-tarikh berkenaan.

Jadual Minggu Keempat menunjukkan Najip FC melayani Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei pada 11 Januari di SNHB, disusuli perlawanan antara QAF FC dengan Wijaya FC di Balapan & Padang, KSNHB pada 12 Januari, Majra United FC lawan Kilanas FC di SNHB pada 13 Januari, MS ABDB lawan LLRC FT pada 14 Januari di Balapan & Padang, KSNHB dan Indera SC lawan Jerudong FC di Balapan & Padang, KSNHB pada 15 Januari.
Walaubagaimanapun, NFABD dalam kenyataannya kemudian daripada itu memaklumkan bahawa terdapat beberapa perubahan perlawanan, namun tarikh dan tempat seperti di atas tidak akan berubah.

Selepas berakhirnya Minggu Ketiga tatkala semua pasukan sudah melalui tiga perlawanan kecuali MS ABDB dengan QAF FC, yang perlawanan di Minggu Kedua masing-masing telah ditunda akibat keadaan cuaca dan padang yang tidak mengizinkan, Indera SC berada di puncak dengan 7 mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

Mengekori rapat di tempat kedua ialah pasukan yang baru bermain dua kali iaitu MS ABDB, dengan kutipan mata maksimum, 6 mata, disusuli LLRC FT di tempat ketiga, juga dengan 6 mata namun tewas dari segi perbezaan gol iaitu +1 berbanding +2 bagi MS ABDB.
Di kedudukan keempat dan kelima ialah Jerudong FC dan Majra United FC, yang masing-masing mengumpul 5 mata hasil satu menang dan dua seri, dengan Jerudong mencatat +6 perbezaan gol berbanding +3 bagi Majra United FC.

MS Polis Diraja Brunei di tempat keenam dengan 4 mata setelah menang sekali, seri sekali dan kalah sekali, manakala Wijaya FC di tempat ketujuh dengan 3 mata menerusi kemenangan sekali dan kekalahan dua kali.

QAF FC dan Kilanas FC berkongsi 1 mata, dengan QAF FC yang baru bermain dua kali mempunyai perbezaan jaringan -3 berbanding -5 bagi Kilanas FC, yang sudah bermain tiga kali, manakala Najip FC di tangga tercorot tanpa sebarang mata.

No comments:

Post a Comment