Tuesday, January 29, 2013

QAF FC menang tipis



Oleh Hasrulraizan

Adie Arsham menjaringkan gol kedua QAF FC untuk saingan Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah semalam.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan - QAF FC berjaya bertahan dari tekanan dan asakan berterusan Jerudong FC dalam tempoh 24 minit sebelum perlawanan Ke-28 Liga Super DST-Brunei 2012/2013 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) petang ini berakhir bagi menang tipis 2-1.

Kemenangan itu memberikan QAF FC tiga mata berharga bagi menjadikan pungutan matanya kepada tujuh sekaligus melonjakkannya dari tangga kelapan ke tangga keenam menggantikan Jerudong FC, yang kekal dengan 5 mata, sekali gus menjatuhkan Jerudong FC ke tangga ketujuh.

Penyerang jersi 12 QAF FC, Adie Arsham Md Salleh memberikan permulaan hebat buat QAF FC apabila sempat mencuri bola hantaran ke belakang pemain Jerudong FC kepada penjaga golnya, Ismaidnuddin Haji Mohamed, bagi menjaringkan gol pertama QAF FC ketika perlawanan baru bermula 37 saat.

Selepas itu perlawanan menjadi seimbang dengan kedua-dua buah pasukan berbalas-balas serangan namun kedudukan 1-0 kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Jerudong FC yang penuh bersemangat memulakan sepak mula separuh masa kedua bermain baik dalam usahanya mencari gol penyamaan, namun dalam serangan QAF FC di minit ke-51, Ismaidnuddin gagal menepis bola lambung yang terkena palang atas dan kanan gawangnya sebelum melantun betul-betul di depan Adie Arsham untuk mudah menendang bola masuk ke dalam gawang terbuka, tatkala Ismaidnuddin masih terbaring.

Adie Arsham berpeluang menjaringkan gol hatriknya pada minit ke-63 apabila tandukannya dari hantaran silang rakannya di sayap kanan tersasar beberapa sentimeter dari tiang gol sebelah kanan Ismaidnuddin, walaupun pada ketika itu tiada pertahanan Jerudong FC yang mengawalnya di dalam Petak D Jeruodong pada ketika itu.

Kegagalannya menjaringkan gol ketiga QAF FC, yang mungkin boleh mematahkan semangat para pemain Jerudong FC itu nyatanya membawa padah apabila giliran Jerudong FC pula melakukan rembatan bahaya menerusi penjaring terbanyaknya, Muhd Abu Bakar Mahari dalam serangan balas selepas itu, namun berjaya ditepis keluar Junaidi Akim di gawang QAF FC bagi sepakan sudut Jerudong FC.

Dalam pergelutan di dalam Petak D QAF FC ketika sepakan sudut diambil oleh Jerudong FC, Adie Arsham menjadi petualang apabila dengan jelas memegang dan menarik Md Enddy Zulyady Awang Sapar dalam usaha menghalangnya daripada membuat tandukan, membuatkan pengadil perlawanan, Md Hadimin Haji Shahbudin tidak teragak-agak melayangkan kad kuning kepadanya sekaligus memberikan sepakan penalti.

Pemain gantian Jerudong FC, Md Esmendy Brahim dengan penuh yakin memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti berkenaan, dan walaupun Junaidi Akim melompat ke arah yang tepat, bola tendangan Md Esmendy gagal dicapainya, dan kedudukan pun berubah menjadi 1-2 pada minit ke-66.

Jaringan itu menyuntik semangat para pemain Jerudong FC untuk mencari gol penyamaan, dan bermula dari gol pertama mereka itulah Jerudong FC mula mendominasi perlawanan dengan melakukan serangan bahaya demi serangan bahaya, manakala penjaga gol gantian Jerudong FC, Abdul Hafiz Haji Mursadi lebih banyak menjadi penonton daripada memegang bola dalam tempoh 24 minit terakhir berkenaan.

No comments:

Post a Comment