Tuesday, January 22, 2013

Saingan liga kian menarik



Oleh Hasrulraizan


Pemain Wijaya FC kelihatan tersepit di antara dua pemain MS PDB dalam persaingan di udara.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan - Minggu Kelima Liga Super DST-Brunei 2012/2013 menjadi minggu yang menarik bagi empat pasukan teratas meneruskan persaingan sengit mereka masing-masing apabila MS ABDB menang 2-0 ke atas Jerudong semalam, MS Polis Diraja Brunei mengalahkan Wijaya FC petang ini dan Majra United FC pula menang 2-0 ke atas Indera SC.

Dengan keputusan itu, MS ABDB kini mendahului Liga berkenaan dengan 12 mata, diekori rapat Majra United FC dengan 11 mata, manakala Indera SC dan MS Polis Diraja Brunei berkongis 10 mata namun Perbezaan Jaringan +8 bagi MS Polis Diraja Brunei memberikan tangga ketiga kepada MS Polis Diraja Brunei, sementara Indera SC dengan perbezaan jaringan +7 di tempat keempat.

Dalam perlawanan pada petang ini di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB), MS Polis Diraja Brunei menjaringkan dua gol pada 8 minit terakhir perlawanan untuk mencuri 3 mata daripada Wijaya FC yang sedang mendahului 1-0.

Setelah babak pertama berakhir seimbang 0-0, Abang Fakhri Abang Jaludin memberikan pendahuluan segera buat Wijaya FC lima minit sejurus sepak mula separuh masa kedua bermula. Wijaya FC berjaya mempertahankan pendahuluan mereka bagi mengutip 3 mata penuh berharga daripada MS Polis Diraja Brunei, namun semangat tidak kenal erti kalah para pemain MS Polis Diraja Brunei akhirnya berjaya membolosi benteng kebal Wijaya FC pada minit ke-83 dan ke-88.

Jaringan penyamaan dan penyuntik semangat MS Polis Diraja Brunei hadir pada minit ke-83 menerusi PC5823 Mohd Huzairol Mohd Idris, manakala gol kemenangan mereka dijaringkan oleh PC5701 Mohd Fazizzul Hussin dua minit sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.

Dalam perlawanan pada malam ini pula di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Majra United FC bertahan setelah mendahului perlawanan pada minit ke-16 menerusi jaringan Faizal Mohammad, sebelum memastikan kemenangan milik mereka apabila Noor Raimi @ Shahremy Karim sempat menjaringkan gol di waktu kecederaan.

Kemenangan itu melucutkan pasukan berkenaan dari tangga teratas Liga berkenaan ke tangga keempat di belakang MS Polis Diraja Brunei, manakala Majra United FC naik satu anak tangga ke tangga kedua.

No comments:

Post a Comment