Monday, February 4, 2013

Hafis Mahari wira QAF FC


Oleh Hasrulraizan

Muhammad Hafis menjaringkan hatrik bagi membantu QAF FC menang tipis 4-3 ke atas Kilanas FC.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb - Muhammad Hafis Mahari menjadi wira QAF FC malam ini apabila menyumbangkan gol kemenangan dan hatriknya pada minit ke-83 selepas Kilanas FC bangkit dari ketinggalan 0-3 untuk menyamakan kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-76.

Kemenangan itu melonjakkan QAF FC ke tangga ke-5 dengan 10 mata bagi kekal berada di landasan tepat untuk mencabar empat pasukan teratas: MS ABDB (16 mata), Indera SC (13 mata), MS Polis Diraja Brunei (13 mata) dan Majra United FC (12 mata), tatkala QAF FC baru bermain lima kali berbanding enam kali bagi empat pasukan teratas itu.

Kapten Kilanas FC seolah-olah sudah berjaya menghadiahkan satu mata buat pasukannya apabila berjaya menjaringkan gol ketiga Kilanas FC pada minit ke-76 bagi menyamakan kedudukan, namun Muhammad Hafis menidakkan satu mata itu dengan jaringan ketujuh bagi perlawanan malam ini untuk sebaliknya menghadiahkan tiga mata berharga buat QAF FC.

Ratano Haji Tuah membuka tirai jaringan perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan pada minit ke-9, sebelum Muhammad Hafis membuka tirai jaringan peribadinya malam ini bagi jaringan kedua QAF FC pada minit ke-29 dengan jaringan tandukan terbang.

Muhammad Hafis memberikan keselesaan kepada rakan-rakannya apabila menyumbangkan gol ketiga QAF FC pada minit ke-40, melalui tendangan mudah ke gawang terbuka Kilanas FC.

Mohd Nor Hidayatullah Haji Zaini memberikan petanda awal kebangkitan Kilanas FC apabila sempat menjaringkan gol pada minit ke-45, untuk membawa jaringan 1-3 ke separuh masa kedua.

Harapan Kilanas FC untuk sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri semakin meningkat apabila Izzul Wazien Osman menjadikan kedudukan 2-3 pada minit ke-56, iaitu selang 11 minit selepas bermulanya babak kedua berkenaan.

Kapten Kilanas FC, Mohd Razi Haji Lamit menginspirasikan kebangkitan Kilanas FC apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-76, untuk mengikat kedudukan menjadi 3-3, tatkala perlawanan berbaki 14 minit.

Walaubagaimanapun dalam serangan balas pantas QAF FC pada minit ke-83, Kapten QAF FC, Riwandi Wahit memecut pantas di sebelah sayap kanan sebelum membuat hantaran silang yang berjaya disambut Muhammad Hafis dengan tendangan kaki kanannya bagi memberikan QAF FC kelebihan satu gol.

Baki 7 minit perlawanan dan ditambah lagi dengan 4 minit masa kecederaan yang diberikan pengadil, detik-detik 11 minit terakhir perlawanan itu menjadi semakin sengit dengan kedua-dua pasukan semakin rancak untuk mendapatkan gol, namun kedudukan 4-3 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.

Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi esok, Isnin, 4 Februari, dengan perlawanan di antara MS Polis Diraja Brunei dengan LLRC FT di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment