Sunday, February 17, 2013

Indera SC tumpaskan Kilanas FC 4-0


BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 15 Februari. - Pasukan Indera SC terus mengukuhkan kedudukan di tempat kedua Liga Super DST 2012/2013 sekalipun ketiadaan aksi tonggak utama, Hamizan Aziz Sulaiman, dengan menumpaskan pasukan Kilanas FC dengan jaringan 4-0.

Pasukan Indera SC yang kini mengalami kurangnya keserasian pemain selepas beberapa pemainnya diserapkan kepada pasukan kebangsaan terus berusaha memberikan penampilan yang terbaik dan hasrat mengutip tiga mata penuh adalah menjadi matlamat mereka di akhir perlawanan.

Haji Omar Haji Md. Jamil selaku Ketua Jurulatih Pasukan Indera SC mengakui beberapa pemain pasukannya kini menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan dan ketiadaan berlatih bersama sedikit sebanyak menggugat keseimbangan mereka.



MD. Nazirul Nazreen cuba menghalang pergerakan Abd. Qahar yang cuba bergerak dari sebelah kiri.
Namun apa yang lebih penting katanya di setiap perlawanan mereka mestilah menang dan keadaan itu diharap akan berterusan hingga ke akhir liga terutama dalam dua baki perlawanan terakhir iaitu menentang pasukan MS PDB dan MS ABDB.

Pasukan Kilanas FC yang lambat panas harus menanggung duka apabila mengalami kekalahan keenamnya dan terperosok di tangga kedua terbawah liga.

Dengan semangat pemain yang tidak kenal putus asa pasukan Kilanas FC terus memberikan saingan terbaik dan berjaya menguasai permainan 30 minit terakhir perlawanan dengan melancarkan serangan-serangan bahaya namun nasib juga menjadi penghalang apabila percubaan mereka selalu saja dipatahkan oleh penjaga gol pasukan Indera SC, Ak. Omar Nur Aqammadin.

Pasukan Indera SC mendahului apabila dihadiahkan gol percuma menerusi Md. Razi yang tanpa sengaja menjaringkan ke gol ke gawang sendiri ketika cuba menghadang bola dari sebelah kiri pada minit ke-39.



TERLEPAS peluang ... Md. Azri gagal membuat penyudah yang baik sekalipun mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. 
 
Tiga minit separuh masa kedua bermula pasukan Indera SC mengukuhkan kedudukan apabila Md. Akmal Hakeem berjaya menambah jaringan menjadikan kedudukan 2-0.

Md. Azwan menjadikan pasukan Indera SC sukar digugat selepas menyumbangkan dua gol yang masing-masing dicetak pada minit 57 dan 90.

Dengan kemenangan tersebut pasukan Indera SC masih kekal berada di tangga kedua selepas MS ABDB berada di hadapannya dengan kelebihan tiga mata.
(Berita & Foto : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)

No comments:

Post a Comment