Tuesday, February 5, 2013

LLRC kejutkan MS Polis


Oleh Hasrulraizan

Aksi Kapten MS Polis Diraja Brunei (hitam), Koperal 4346 Rosmini Haji Abdul Kahar dikawal ketat malam ini oleh pertahanan LLRC FT.

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Feb - MS Polis Diraja Brunei terlepas peluang untuk menyamakan kutipan matanya dengan pendahulu Liga Super DST-Brunei 2012/2013, MS ABDB (16 mata) dan memintas Indera SC (13 mata) di tempat kedua apabila dikejutkan oleh LLRC FT dengan jaringan 2-3.

Pada perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu LLRC FT mendahului 1-0 pada separuh masa pertama, hasil rembatan pemain sayap kirinya, Awangku Mohd Azrul Ariffin Pengiran Matussin, dalam serangan balas pantas yang mengejutkan pertahanan MS Polis Diraja Brunei.

Selang tiga minit selepas masa rehat, LLRC FT menggandakan pendahuluannya apabila Safuan Juhar menyempurnakan sepakan penalti, bagi menyukarkan lagi misi MS Polis Diraja Brunei untuk mengejar dengan pendahuluan dua gol itu.

Para pemain MS Polis Diraja Brunei tidak berputus asa dan hasilnya mereka berjaya mengurangkan pendahuluan itu kepada satu apabila APO 6438 Khalid Mustapah menjaringkan gol buat pasukannya pada minit ke-69.

Namun Md Shah Hafiz Kifli mengembalikan semula pendahuluan dua gol pasukannya lapan minit kemudian, bagi merubahkan kedudukan kepada 3-1, masih berpihak kepada MS Polis Diraja Brunei.

Kapten MS Polis Diraja Brunei, Koperal 4346 Rosmini Haji Abdul Kahar yang dikawal ketat di sepanjang 90 minit perlawanan berkenaan, akhirnya berjaya juga mencatatkan namanya di senarai penjaring pada minit ke-92, namun masih belum cukup untuk menyelamatkan pasukannya daripada mengalami kekalahan keduanya dalam kancah Liga Super DST-Brunei 2012/2013 ini.

Kemenangan itu melonjakkan LLRC ke tangga ke-5 dari tangga ke-6, dengan kutipan 12 mata, sama dengan Majra United FC, manakala MS Polis Diraja Brunei walaupun tewas, masih mengekalkan kedudukan ketiganya dengan 13 mata.

Aksi malam ini merupakan perlawanan terakhir Minggu Ketujuh Liga Super DST-Brunei 2012/2013 yang dijadualkan semula tanpa melibatkan dua buah pasukan iaitu Indera SC dan Majra United FC.

Menurut kenyataan dari Jawatankuasa Penganjur, NFABD merombak jadual asal Minggu Ketujuh dan Kelapan berikutan penglibatan enam pemain Majra United FC dan enam pemain Indera SC bersama DPMM FC yang kini di Vietnam mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab di sana dari 2-9 Februari ini.

No comments:

Post a Comment