Oleh Hasrulraizan
Soldadu Abdul Azizi (jersi 9 biru tua) menyumbangkan enam gol dalam kemenangan 11-1 MS ABDB ke
atas Najip FC malam ini.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb - MS ABDB tidak menghadapi masalah untuk mengutip mata penuh
malam ini ketika berdepan dengan pasukan yang kalah kesemua perlawanannya sebelum ini, Najip FC,
dengan membelasah pasukan tercorot berkenaan 11-1 di perlawanan pembuka tirai Minggu Ketujuh Liga
Super DST-Brunei 2012/2013.Walau bagaimanapun, pada perlawanan yang mengambil tempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah (SNHB) itu, Najip FC nyata bermain lebih baik selain bernasib baik daripada perlawanannya pada Minggu Keenam apabila tewas 1-20 kepada Indera SC, lebih-lebih lagi Najip FC turut berjaya membolosi pertahanan
MS ABDB yang sebelum ini hanya dibolosi tiga kali.
MS ABDB yang belum pernah tewas dan hanya mengalami seri minggu lalu, 2-2, dengan Majra United FC, telah mendahului perlawanan berat sebelah itu pada minit ke-11 menerusi rembatan Soldadu Mohd Baharin Hamidon.
Soldadu Budiman Jumat bernasib baik untuk menjaringkan gol kedua MS ABDB apabila bola hantaran silangnya melangkaui jangkauan Mohd Fuad Lasa di gawang Najip FC dan terus masuk.
Ketika Najip FC hanya bermain 10 orang akibat salah seorang pemain pertahannya, Mohd Fazail Ishak sedang menerima rawatan di luar padang, Soldadu Abdul Azizi Ali Rahman yang menyumbangkan 6 gol dalam perlawanan pada malam ini membuka tirai jaringan peribadinya pada minit ke-37, setelah hanya berdepan dengan Mohd Fuad.
Selang seminit kemudian Soldadu Mohd Baharin menjaringkan gol kedua peribadinya dan keempat buat MS ABDB menerusi rembatan kencang dari dalam Petak D, sebelum Soldadu Abdul Azizi menutup tirai babak pertama dengan jaringan kedua peribadinya pada minit ke-45 bagi membawa jaringan 5-0 ke babak kedua.
MS ABDB yang mempunyai misi untuk menjaringkan gol sebanyak mungkin dalam landasan yang tepat untuk mencapai misinya itu apabila memulakan lima minit pertama separuh masa kedua dengan tiga gol.
Gol keenam MS ABDB hadir hanya beberapa saat selepas babak kedua bermula menerusi tandukan kencang Soldadu Abdul Azizi bagi jaringan hatriknya, selepas menerima hantaran silang Soldadu Md Baharin.
Selang tiga minit kemudian, giliran Koperal (U) Mohamad Hardi Haji Matassan pula menanduk bola masuk bagi menjadikan kedudukan 7-0, dan kemudiannya Soldadu Abdul Azizi membidik tepat lagi bagi gol keempat peribadinya malam ini pada minit ke-50 bagi pendahuluan 8-0.
Tatkala MS ABDB bergembira dengan permulaan cemerlang tiga gol dalam tempoh lima minit di separuh masa kedua itu, Najip FC tiba-tiba melakukan serangan bahaya dan menghukum kelalaian pertahanan MS ABDB untuk mudah bagi Mohd Asril Kubu menggegarkan gawang terbuka MS ABDB dari jarak dekat pada minit ke-51 bagi merubah kedudukan kepada 1-8.
Jaringan Mohd Asril itu seolah-olah menyuntik semangat rakan-rakannya untuk mencari gol lagi di samping menghentikan jaringan gol dari pihak lawan, yang terbukti apabila MS ABDB mula terkial-kial untuk menambahkan jaringan mereka.
MS ABDB hanya berjaya menjaringkan gol kesembilannya pada minit ke-79 menerusi pemain jersi sembilannya, Soldadu Abdul Azizi, sebelum kedudukan menjadi 10-1 menerusi tendangan penalti penjaga golnya, Soldadu Muhamad Suhandi Haji Awang Mahali pada minit ke-82.
Soldadu Abdul Azizi menutup buku jaringannya malam ini dengan gol keenamnya pada minit ke-83 bagi kedudukan 11-1 yang kekal sehingga perlawanan tamat, sekaligus memberikan MS ABDB tiga mata penuh, yang membuatkannya menakluki semula puncak liga dengan 16 mata setelah baru bermain enam kali. Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi malam esok, Sabtu, 2 Februari dengan perlawanan di antara Jerudong FC dengan Wijaya FC, bermula pukul 8:15 malam di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah
No comments:
Post a Comment