Monday, February 18, 2013

QAF FC menang bergaya


Oleh Hasrulraizan

Riwandi Wahit mengetuai kemenangan QAF FC (kiri), 4-1 ke atas Wijaya FC apabila menyumbang satu gol dan membantu pertahanan QAF FC.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Feb - Dalam perlawanan tertunda dari Minggu Ke-4 di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, QAF FC yang sudah mengumpul 10 mata dari enam perlawanan bermula baik bagi meneruskan perjuangannya merebut tiga tangga teratas dengan kemenangan 4-1 ke atas Wijaya FC.

Perlawanan malam ini antara dua pasukan yang mampu memintas LLRC FT di tangga kelima tatkala LLRC FT sudah menamatkan kempennya dengan kekalahan 0-1 di tangan Majra United FC malam tadi, bagi mengumpul 13 mata itu berlangsung sengit.

Ratano Haji Tuah yang bermain selaku pertahanan kiri QAF FC menyumbangkan gol pertama buat pasukannya pada minit ke-12.

QAF FC selesa mendahului 2-0 sebelum babak pertama berakhir hasil serangan balas pantas pada minit ke-42 dari sayap kanan melalui larian pantas Petrus Jumat yang menghantar kepada Mardi Mirza Abdullah Bujang yang kemudiannya membuat hantaran cantik buat Adie Arsham mudah menewaskan penjaga gawang Wijaya FC.

Wijaya FC bangkit pada separuh masa kedua apabila berjaya mengurangkan pendahuluan QAF FC kepada satu gol saja ketika babak kedua baru berlangsung 4 minit menerusi jaringan Wan Firdaus Haji Hamidon.

Namun Ketua Pasukan QAF FC, Riwandi Wahit yang bermain turun-naik membantu pertahanan dan serangan QAF FC memberikan nafas lega kepada rakan-rakannya apabila mengembalikan pendahuluan dua gol pasukannya pada minit ke-67.

Tatkala perlawanan seakan-akan berakhir 3-1, Mardi Mirza sempat menambahkan jaringan QAF FC kepada empat pada minit ke-3 masa kecederaan bagi memuktamadkan perlawanan dengan jaringan 4-1.

Kancah Liga Super DST-Brunei 2012-2013 yang kini di Minggu Ke-9 dan sudah menghampiri penghujungnya itu akan berehat selama seminggu dari 18 hingga 25 Februari ini sebelum diteruskan dengan empat perlawanan di Minggu Ke-10, kesemuanya berlangsung di Balapan dan Padang, KSNHB.

Minggu Ke-10 akan bermula pada Selasa, 26 Februari hingga Ahad, dengan perlawanan antara MS Polis Diraja Brunei dengan Jerudong FC pada 26 Februari bermula pukul 4:15 petang, sebelum diteruskan pada Sabtu, 2 Mac bermula pukul 8:15 malam antara QAF FC dengan Majra United FC.

Minggu Ke-10 menutup tirainya pada Ahad, 3 Mac dengan dua perlawanan iaitu MS ABDB lawan Kilanas FC bermula pukul 4:15 petang dan Wijaya FC lawan Najip FC bermula pukul 8:15 malam.

MS ABDB masih mendahului dengan 19 mata, diikuti Indera SC dan Majra United FC dengan 16 mata, manakala MS Polis Diraja Brunei kekal di tangga ke-4, disusuli QAF FC yang kini menghuni tangga ke-5 bagi memintas LLRC FT, walaupun dengan kutipan mata yang sama, 13, namun QAF FC memiliki perbezaan gol +2 berbanding -2 bagi LLRC FT.
Wijaya FC kekal dengan 7 mata di tangga ke-7, disusuli Jerudong FC dengan 6 mata, Kilanas FC 4 mata dan Najip FC di tangga tercorot dengan 0 mata.

No comments:

Post a Comment