Thursday, March 7, 2013

Indera mula hidu gelaran


Oleh Hasrulraizan

Mohammad Azwan melepasi perangkap ofsaid sebelum melambungkan bola dari luar Petak D, melemaskan penjaga gol MS Polis Diraja Brunei bagi gol pertama Indera SC.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mac - Indera SC memberikan khabar gembira kepada para peminat bola sepak tanah air apabila membuat temujanji dengan MS ABDB pada Ahad, 10 Mac 2013 ini dalam perlawanan terakhir Liga Super DST-Brunei 2012/2013 bagi menentukan siapa layak bergelar "Juara Liga Super".

Temujanji 'final' antara kedua-dua pasukan berkenaan menjadi kenyataan apabila Indera SC menang 3-1 ke atas MS Polis Diraja Brunei malam ini bagi mengutip 3 mata penuh, menjadikan kutipan keseluruhan matanya kepada 19, tiga mata di belakang MS ABDB.

Di dalam perlawanan penentuan itu nanti, MS ABDB hanya sekadar memerlukan seri untuk muncul juara manakala Indera SC mesti menang untuk merangkul kejuaraan walaupun sekadar 1-0, bagi menyamakan kutipan matanya dengan MS ABDB iaitu 22 mata, kerana Indera SC mempunyai kelebihan perbezaan jaringan yang lebih besar.

Mohammad Azwan Ali Rahman menerajui kemenangan Indera SC dengan jaringannya pada minit ke-18 apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid MS Polis Diraja Brunei sebelum melambungkan bola dari luar Petak D melangkaui jangkauan L/CPL 4673 Md Khairol Amin Haji Zainuddin di gawang MS Polis Diraja Brunei.

Reduan Haji Petara menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-60 dan Hamizan Aziz memberikan keselesaaan kepada Indera SC selang dua minit kemudian bagi memberikan Indera SC kelebihan tiga gol.

MS Polis Diraja Brunei yang sentiasa kelihatan merbahaya melalui serangan balas pantasnya sedari babak pertama lagi akhirnya berjaya membolosi pertahanan Indera SC pada minit ke-86 menerusi Ketua Pasukannya, CPL 4346 Rosmini Haji Abdul Kahar bagi menjadikan kedudukan 1-3.

Namun jaringan itu agak lewat bagi memberikan sebarang peluang kebangkitan lewat MS Polis Diraja Brunei mengejar Indera SC bagi sekurang-kurangnya mendapatkan keputusan seri, dan kini hanya mampu berharap Najip FC melakukan kejutan mustahil menewaskan QAF FC pada Sabtu, 9 Mac ini, bagi mengekalkan kedudukan keempatnya ketika ini.

Kemenangan Indera SC itu juga bermakna, Majra United FC yang mengumpul 19 mata dan +9 perbezaan jaringan selepas menamatkan kempennya musim ini pada Sabtu, 2 Mac yang lalu, terpaksa berpuas hati memenangi tempat ketiga, walaupun menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan Indera SC setakat ini dalam musim ini, memandangkan Indera SC memiliki perbezaan jaringan +30.

Liga Super DST-Brunei 2012/2013 akan diteruskan lagi Sabtu, 9 Mac ini, juga di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah dengan perlawanan di antara QAF FC (13 mata) dan Najip FC (0 mata), bermula pukul 8:15 malam.

Manakala perlawanan penentuan juara akan berlangsung bermula pukul 8:15 malam di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada Ahad, 10 Mac nanti, dengan Indera SC yang kini mengumpul 19 mata perlu menang, manakala MS ABDB yang sudah mengumpul 22 mata, hanya memerlukan keputusan seri untuk merangkul kejuaraan liga musim ini.

No comments:

Post a Comment