Friday, November 3, 2017

PDB teruskan momentum

Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 2 Nov – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) meraih tiga mata lagi melalui kemenangan 3-1 ke atas Jerudong FC malam tadi dalam aksi Liga Super DST 2017.
Sebelum ini PDB juga berjaya meraih tiga mata yang diperolehinya pada 28 Oktober lalu ketika menang 3-0 ke atas Menglait FC.
Tambahan tiga mata untuk jumlah terkumpul 15 mata itu membolehkan PDB mendekatkan dirinya hanya satu mata di belakang pasukan di tangga keenam, Lun Bawang.
Sementara kekalahan mematahkan semangat Jerudong FC yang kelihatan naik semula selepas kejayaannya menewaskan pasukan di kedudukan kesembilan, Najip I-Team 4-2 pada 27 Oktober lalu, sekali gus menyebabkannya kekal berada di tangga tercorot dengan tujuh mata.
Dalam perlawanan di Kompleks Sukan Tutong itu, Jerudong FC bermula baik apabila Mohd Mudza’ffar Al Arif bin Haji Abdur Rafae’a mencatatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ketujuh perlawanan. Walau bagaimanapun separuh masa pertama berakhir seimbang 1-1 selepas Mohd Jasriman bin Haji Johari berjaya meledakkan gol penyamaan pada minit ke-27.
Barisan pemain PDB yang menang 3-1 ke atas Jerudong FC dalam aksi Liga Super DST 2017.
PDB buat pertama kalinya mengemudi perlawanan selepas Mohd Hisham bin Hazman menemui sasarannya di gawang lawan sepuluh minit selepas rehat untuk merubah kedudukan menjadi 2-1.
Abdul Azim bin Abdul Rashid mengukuhkan pendahuluan PDB menerusi jaringannya pada minit ke-76 dan ternyata gol itu menjadi gol terakhir perlawanan untuk keputusan muktamad 3-1 memihak PDB.
Kancah Liga Super DST 2017 akan diteruskan pada pukul 3 petang, Ahad 5 November ini di Kompleks Sukan Temburong dengan perlawanan di antara Lun Bawang dengan pasukan di tangga kelima, Kasuka FC.
MS ABDB kekal menerajui liga dengan 39 mata, diekori rapat oleh Kota Ranger FC yang mengumpul 35 mata. Wijaya FC menduduki tempat ketiga dengan 27 mata, disusuli Indera SC dengan 26 mata , dan Kasuka FC yang memungut 25 mata di tempat kelima.

No comments:

Post a Comment