Monday, February 3, 2014

Indera SC kutip mata penuh


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Jaringan lewat Jerudong FC pada minit ke-91 mencemaskan Indera SC dalam kancah Liga Super DST-NFABD 2014 di Kompleks Sukan Berakas (KSB) malam tadi namun masih belum cukup untuk menghalang juara bertahan itu mengutip tiga mata dengan kemenangan 3-2.

Dalam persaingan Liga Super yang terhenti sementara minggu lalu akibat keadaan cuaca dan padang yang tidak mengizinkan itu telah disambung semula malam tadi dengan dua perlawanan, dan perlawanan di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) merekodkan kemenangan 1-0 Wijaya FC ke atas Majra United.

Dengan keputusan dua perlawanan malam tadi berkenaan, Indera SC kini mendahului tipis Liga Super dengan 3 mata, diikuti Wijaya FC di tempat kedua, juga tiga mata, manakala QAF FC dan Jerudong FC di tempat ketiga dan keempat dengan 1 mata.





Aksi perebutan bola di udara antara pemain Indera SC (hijau) dan Jerudong FC (biru) ketika Indera SC mendahului 3-1.

Walau bagaimanapun kedudukan itu mungkin berubah, bergantung kepada keputusan tiga perlawanan Liga Super yang berlangsung malam ini iaitu QAF FC lawan Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) di KSB, Kilanas FC lawan Najip FC di Balapan & Padang, KSNHB, dan LLRC FT lawan MS ABDB di Padang Arena, Seria, Belait.

Tiga perlawanan Liga Super yang tertunda minggu lalu ialah Majra United lawan Kilanas (25 Januari – Balapan & Padang KSNHB), MS PDB lawan Wijaya FC (26 Januari – KSB) dan LLRC FT lawan Najip FC (26 Januari – Padang Arena, Seria).

Di KSB malam tadi, Indera SC mendahuli seawal minit pertama menerusi jaringan pertama Md Asri Haji Aspar, sebelum pemain Jersi 7 Indera SC itu menggandakan pendahuluan pasukannya kepada 2-0 di minit ke-9 dengan rembatan kencang ke sudut kiri sebelah bawah gawang Jerudong FC.

Indera SC semakin selesa apabila Md Nur Ikwan Othman memanfaatkan kesilapan posisi penjaga gol Jerudong FC, yang berdiri agak ke tengah, untuk menendang masuk bola dari sudut sukar sebelah kiri tiang gol untuk menerjah gawang sebelah kanan Jerudong FC, bagi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-23.

Tatkala Indera SC dijangka akan berpesta gol dalam perlawanan yang sebenarnya sengit, dengan kedua-dua buah pasukan berbalas-balas serangan, termasuk percubaan-percubaan bahaya Jerudong FC yang boleh saja menghasilkan gol itu, Jerudong FC akhirnya berjaya juga membolosi Indera SC pada minit ke-33.

Gol Jerudong FC itu terhasil menerusi sepakan penalti setelah salah seorang pemain Jerudong FC dikasari pemain Indera SC di dalam Petak D, yang disempurnakan oleh Dahlan Haji Zainuddin dengan rembatan rendah ke sudut kiri gawang Indera SC, tatkala penjaga gol Indera SC hanya mampu melihat, masih berdiri di tengah gawang.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama, dan ia hampir-hampir menjadi keputusan muktamad perlawanan sehinggalah Md Enddy Soehardy Awang Sapar menggegar gawang Indera SC pada masa kecederaan, minit ke-91.

Jaringan berkenaan memberikan pasukannya harapan untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri 3-3, namun tiupan wisel penamat pengadil memberi kelegaan kepada Indera SC tatkala kedudukan masih kekal 3-2.

Di Balapan & Padang, KSNHB, Wijaya FC bertahan dengan satu-satunya jaringan dari Awangku Anaqi Sufi Pengiran Haji Omar, untuk mengutip tiga mata berharga, dari perlawanan sukar menentang Majra United, pasukan di tempat ketiga musim lalu.

Satu-satunya perlawanan yang sempat dimainkan sebelum dua perlawanan malam tadi adalah perlawanan antara QAF FC menentang Jerudong FC, yang berkesudahan seri 2-2.

No comments:

Post a Comment