Wednesday, March 12, 2014

MS Polis Diraja Brunei tewaskan MS ABDB 1-0


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mac – Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) terus mengekori rapat Najip FC apabila mencatatkan kemenangan bersejarah ke atas MS ABDB dalam kancah Liga Super DST-NFABD 2014 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah malam ini, walaupun sekadar dengan jaringan 1-0.

Kemenangan buat MS PDB itu sebaliknya menjadi pukulan hebat ke atas misi MS ABDB untuk melenyapkan kegagalan merangkul kejuaraan di hujung Liga Super musim lalu walaupun hanya memerlukan seri di perlawanan terakhirnya menentang Indera SC pada ketika itu tetapi Indera SC menang untuk merampas kejuaraan berkenaan.

MS PDB berhak memenangi perlawanan dengan persembahan bertenaga para pemainnya menyaingi setiap gerak pemain MS ABDB bahkan lebih lagi dengan serangan-serangan yang lebih mantap dan bahaya berbanding MS ABDB yang hampir-hampir membuahkan hasil.Pada minit ke-60, MS PDB berjaya menggegar gawang MS ABDB dan sudah sempat meraikannya namun tiba-tiba jaringan dibatalkan pengadil kerana APO6438 Khalid Mustapah mengangkat tinggi kakinya separas dada untuk menendang bola 50-50 di depan penjaga gol MS ABDB, Soldadu Md Suhandi Haji Awang Mahal, yang melantun dari palang atas selepas percubaan asal dari Lans Korporal 4828 Jasriman Haji Johari yang sepatutnya sudah masuk menerjah gawang.


 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/03/PAGE20-FC_1203023222213.jpg


APO6712 Md Syarafuddin Hamdi (Jersi 3) ketika meraikan golnya bersama rakan sepasukan yang cukup untuk memberikan MS PDB kemenangan 1-0 ke atas MS ABDB.

Jasriman hanya berdepan dengan Soldadu Md Suhandi dan tatkala Soldadu Md Suhandi bergerak ke depan untuk mengecilkan sudut terbuka, Jasriman mengambil tindakan melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol itu yang berjaya dilaksanakannya hanya untuk bola itu tinggi sedikit dari sepatutnya sehingga terkena bahagian bawah palang atas, mengantul ke tanah dan melantun keluar yang disambut dengan kaki oleh APO6438 Khalid.

Pada minit ke-65 sepakan percuma berdekatan garisan Petak D MS ABDB yang diambil Lans Korporal 4828 Jasriman berjaya ditepis Soldadu Md Suhandi, manakala pada minit ke-75 percubaan APO6438 Khalid dari sebelah kiri dalam Petak D MS ABDB berjaya ditampan penjaga gol MS ABDB berkenaan. Bagaimanapun usaha berterusan MS PDB akhirnya berjaya merobek gawang MS ABDB menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan MS PDB, APO6712 Md Syarafuddin Hamdi Haji Talip pada minit ke-82, yang masuk di celah dua kaki Soldadu Md Suhandi yang cuba mendakap bola dan bergolek perlahan melepasi garisan gol.

Kemenangan itu mengekalkan MS PDB di tangga kedua Liga Super dengan 12 mata, sama mata dengan pendahulu Liga Super, Najip FC, yang menang 3-1 ke atas Majra United di Kompleks Sukan Berakas malam ini.

Abang Nor Sillmy Abang Haji Taha menyumbangkan dua gol buat Najip FC malam ini iaitu sebiji di setiap separuh masa (minit ke-45 dan ke-61), manakala sebiji gol lagi dijaringkan oleh Haji Khairol Anwar Haji Md Yaakub pada minit ke-48. Gol tunggal Majra United dijaringkan oleh Faizal Mohammad pada minit ke-61. Najip FC di puncak Liga Super melalui kelebihan perbezaan gol, +7 dari 11 jaringan dan 4 bolos berbanding +4 perbezaan gol bagi MS PDB dari 8 jaringan dan 4 bolos, manakala kekalahan kedua dialami MS ABDB itu mengekalkan MS ABDB di tangga kelima dengan 6 mata dari dua kemenangan dan dua kekalahan.

Liga Super DST-NFABD 2014 akan diteruskan lagi pada 15 Mac 2014 dengan dua perlawanan iaitu Jerudong FC lawan Wijaya FC di Padang & Balapan, KSNHB, dan QAF FC lawan Kilanas FC di Kompleks Sukan Berakas, kedua-duanya bermula pukul 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment