Wednesday, April 16, 2014

Badi Jerudong berterusan


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 15 April – Jerudong FC hampir mencatatkan kemenangan pertama Liga Super DST-NFABD malam tadi tetapi dihampakan oleh perancang tengah LLRC FT, Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi di hujung masa kecederaan separuh masa kedua untuk selesai seri 1-1.

Jerudong FC yang bermain baik sepanjang musim ini, cuma belum bernasib baik untuk meraih kemenangan, sebaliknya seri empat kali termasuk semasa menentang LLRC FT di Kompleks Sukan Tutong semalam.

Separuh masa pertama yang menarik dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan hanya menyaksikan satu gol dijaringkan iaitu pada minit ke-40 oleh Md Esmendy Brahim buat Jerudong FC mendahului 1-0 dan kedudukan itu kekal sehingga rehat.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE24_20140416_A.jpg

Ak Md Haikal LLRC FT menjaringkan gol pada masa kecederaan babak kedua untuk mengikat kedudukan 1-1 dengan Jerudong FC.

Pada babak kedua, LLRC FT menerusi bantuan perancang tengahnya, Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi berusaha untuk mencari penyamaan ketika meningkatkan peluangnya mencabar kejuaraan Liga Super musim ini.

Tatkala Jerudong FC sudah bersiap sedia untuk meraikan kemenangan pertamanya, Awangku Md Haikal pula sekali lagi muncul sebagai wira LLRC FT menerusi jaringan pada masa kecederaan untuk pasukannya dan Jerudong FC terpaksa berpuas hati meraih 1 mata.

Ia merupakan kali kedua Jerudong FC kehilangan 2 mata selepas 1 April lalu setelah seri 2-2 dengan Najip FC padahal pada satu ketika Jerudong FC selesa mendahului 2-0, walaupun hanya bermain 10 orang dan kemudiannya tinggal sembilan apabila kedudukan 2-2.

Dengan keputusan seri ini, LLRC FT kekal di tangga kelima dengan 12 mata, manakala Jerudong FC naik ke tempat kelapan dari kesembilan untuk bertukar tempat dengan Majra United yang juga mengumpul empat mata, namun Jerudong memiliki kelebihan jaringan berbanding Majra United.

No comments:

Post a Comment