Thursday, April 24, 2014

Gol Suhaimi benam Majra


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 April – Gol tunggal Suhaimi Haji Md Yussof ke atas Majra United menerusi sepakan penalti pada minit ke-75 sudah cukup untuk memberi kepuasan kepada MS ABDB kerana berjaya menewaskan satu-satunya pasukan kebal Indera SC setakat ini.

Lebih bernilai lagi kemenangan 1-0 MS ABDB ke atas Majra United itu turut sedikit sebanyak mampu mengubat kekecewaan MS ABDB tewas 0-1 kepada MS PDB pada 11 Mac lalu kerana melalui kemenangan malam ini MS ABDB melonjak ke atas MS PDB ketika kedua-dua pasukan sama-sama sudah bermain sembilan kali.

Kedua-dua pasukan masing-masing mengumpul 18 mata setelah menang enam kali dan tewas tiga kali, namun MS ABDB memiliki kelebihan +11 perbezaan gol dari 24 jaringan dan 13 bolos berbanding hanya +5 perbezaan gol bagi MS PDB menerusi penghasilan 14 jaringan dan bolos sembilan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_240402323735.jpg

Suhaimi menjaringkan gol tunggal perlawanan menentang Majra United bagi membawa MS ABDB naik ke tangga kedua Liga Super.

Suhaimi bukan sahaja menjadi wira disebabkan oleh jaringan golnya itu tetapi lebih penting lagi pemain itu bersama rakan pertahanannya yang lain berjaya mengekang Majra United daripada membolosi gawang MS ABDB.

Najip FC jatuh semula ke tangga keempat selepas baru sahaja memintas MS ABDB menerusi kemenangan 4-0 ke atas LLRC FT pada Isnin, 21 April baru-baru ini, walau bagaimanapun pada masa ini Najip FC hanya dua mata di belakang MS ABDB dan MS PDB, di samping masih memiliki kelebihan satu permainan dalam tangan.

Indera SC kekal di persada Liga Super dengan 20 mata selepas baru mengharungi lapan perlawanan, begitu juga kedudukan lima ke bawah masih tidak berubah selepas perlawanan malam tadi termasuk Majra United kekal di tangga kesembilan dengan lima mata selepas lapan kali bermain, hanya 1 mata di atas Jerudong FC yang baru bermain tujuh kali.

Liga Super DST-NFABD 2014 akan diteruskan lagi 26 April ini dengan dua perlawanan iaitu Kilanas FC lawan QAF FC di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dan Wijaya FC lawan MS PDB di Kompleks Sukan Berakas, kedua-duanya bermula jam 8:15 malam.

No comments:

Post a Comment