Thursday, April 17, 2014

MS ABDB rapatkan jurang


BANDAR SERI BEGAWAN, 16 April (Hasrulraizan) – Persaingan tiga tangga teratas Liga Super DST-NFABD menjadi semakin menarik apabila MS ABDB merapatkan semula jurang dengan pendahulu liga Indera SC kepada lima mata selepas menewaskan Najip FC 2-1 malam tadi.

MS ABDB bermula garang dalam aksi di Kompleks Sukan Berakas apabila membolosi gawang Najip FC seawal minit kesembilan hasil jaringan Soldadu Md Khairuddin Abdul Kadir. Kedudukan 1-0 itu kekal sehingga masa rehat walaupun kedua-dua pasukan berusaha mendapatkan gol menerusi serangan bahaya terancang. Babak kedua semakin sengit apabila Najip FC semakin terdesak mencari gol penyamaan, namun enam minit selepas sepak mula MS ABDB pula yang menambah jaringannya melalui Soldadu Md Baharin Hamidon.

MS ABDB selesa dengan pendahuluan dua gol namun masa masih panjang membuatkan MS ABDB berhati-hati sehingga memperlahankan permainan dan cuba mengawal bola selama mungkin, namun Najip FC terus memberikan tekanan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_1704023138553.jpg

Md Khairudin (kiri) dan Md Baharin (kanan) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-1 MS ABDB ke atas Najip FC semalam.

Usaha Najip FC berhasil menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penjaring utama Noor Raimi Karim @ Syahremy pada minit ke-72. Pertahanan kental dan kecemerlangan penjaga gawang MS ABDB memastikan tiada gol lagi dijaringkan pihak lawan sehingga perlawanan berakhir. Kemenangan bernilai itu membawa mata MS ABDB kepada 15 mata setelah melalui 8 permainan sekali gus menggantikan MS PDB di tangga kedua, yang juga mengutip 15 mata tetapi MS ABDB mempunyai perbezaan jaringan lebih besar berbanding MS PDB di tempat ketiga.

Najip FC pula jatuh dari tempat ketiga ke tangga keempat, kekal dengan 13 mata setelah melalui 7 permainan dan masih ada satu perlawanan dalam tangan berbanding Indera SC, MS ABDB dan MS PDB.

Indera SC yang diikat 0-0 oleh Majra United malam tadi masih di puncak Liga Super dengan 20 mata, sementara MS ABDB mencantas pendahuluan tujuh mata Indera SC kepada hanya 5 mata untuk menduduki tangga kedua, namun Najip FC mampu merampas kedudukan kedua jika menang perlawanan seterusnya.

MS ABDB pasti ingin memulakan pusingan kedua lebih baik berbanding pusingan pertama yang menyaksikannya tewas tiga kali kepada tiga pasukan di lima tangga teratas iaitu 2-3 kepada LLRC FT, 0-1 kepada MS PDB dan terbaru 0-2 kepada Indera SC.

Najip FC juga pasti ingin memperbaiki kedudukannya, maka perlawanannya menentang LLRC FT Isnin ini dilihat sangat penting untuk merapatkan jurangnya dengan Indera SC yang kini melebar kepada tujuh mata.

No comments:

Post a Comment