Monday, April 21, 2014

MS PDB 18 mata selepas pusingan I


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) mengakhiri kempennya dalam pusingan pertama Liga Super DST-NFABD 2014 dengan mengumpul 18 mata selepas mencatatkan kemenangan keenam malam tadi untuk kekal menduduki tangga kedua.

Dalam perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) semalam, MS PDB walaupun hanya bermain 10 orang berjaya menewaskan QAF FC dengan jaringan 3-1.

Lans Korporal 4828 Jasriman Haji Johari menjaringkan satu gol di setiap separuh masa iaitu pada minit ke-44 dan minit ke-53 untuk MS PDB mendahului QAF FC dengan jaringan 2-0.

Pada ketika MS PDB hanya bermain 10 orang, Md Shah Azhar Abdullah Ahar merapatkan jurang dengan gol menarik dari sepakan percuma berdekatan sudut kanan kotak MS PDB pada minit ke-68 untuk merubah kedudukan menjadi 1-2.
 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_2104023151819.jpg


Rosmini (jersi 9) meraikan jaringan ketiga MS PDB bersama Jasriman dalam aksi Liga Super di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) kelmarin.

Namun tatkala gol itu meningkat semangat para pemain QAF FC, Md Hafis Mahari melakukan kesilapan dengan menampar bola yang melangkaui kepalanya menggunakan kedua-dua tangannya seperti bermain bola keranjang berhampiran sudut kanan kotak QAF FC menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kedua dan merah kepadanya.

Dengan pemain kedua-dua buah pasukan kini seimbang semula, 10 pemain sama, perlawanan pun kembali seimbang, dan nyatanya mengundang padah buat QAF FC apabila lima minit selepas Md Hafis diperintah keluar padang, Korporal 4346 Rosmini Haji Abdul Kahar menjaringkan gol ketiga MS PDB.

Jaringan pada minit ke-87 itu menjadi jaringan terakhir perlawanan, sekaligus memberikan MS PDB tiga mata bernilai untuk terus memberikan tekanan kepada Indera SC (20 mata) di puncak liga, lebih-lebih lagi Indera SC masih memiliki satu permainan dalam tangan.

Manakala QAF FC kekal di kedudukan ketujuh dengan 9 mata selepas melalui 9 permainan di pusingan pertama Liga Super berkenaan, hanya satu mata di belakang Wijaya FC di tangga keenam dan tiga mata di depan Kilanas FC di tempat kelapan.

Perlawanan berikutnya bagi QAF FC dan MS PDB adalah perlawanan dalam pusingan kedua Liga Super iaitu pada Sabtu depan, 26 April, menentang Kilanas FC bagi QAF FC dan menentang Wijaya FC bagi MS PDB.

No comments:

Post a Comment