Wednesday, April 23, 2014

Najip FC balas dendam


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 22 April – Najip FC dan LLRC FT memulakan kempen pusingan kedua Liga Super DST-NFABD 2014 malam tadi, dan ia menjadi cerita berbeza berbanding pertembungan keduanya di pusingan pertama apabila Najip FC melunaskan dendamnya tewas 1-2 pada 3 Mac lalu untuk membelasah LLRC FT 4-0.

Dua gol di tiga minit terakhir separuh masa pertama ternyata merubah corak permainan sekali gus menjadi penentu kemenangan besar Najip FC, kerana jika kekal 0-0 sehingga babak pertama berakhir, pasti pendekatan kedua-dua pasukan pada babak kedua berbeza dan mungkin keputusan juga berbeza.

Md Azri Zahari menjaringkan gol pertama Najip FC pada minit ke-43 dan kedudukan segera menjadi 2-0 selang seminit kemudian apabila Abang Nor Sillmy Abang Taha pula meledakkan jaringan, dan kedua-dua jaringan itu jelas mengejutkan LLRC FT yang bertahan cemerlang sebelum gol-gol berkenaan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/PAGE22_2304023204950.jpg


Md Azri (jersi 12) membuka jaringan Najip FC dua minit sebelum rehat dalam kemenangan 4-0 ke atas LLRC FT, semalam.

Ketika berusaha untuk mengejar Najip FC, LLRC FT jelas membuka ruang di bahagian pertahanannya untuk dibolosi lagi oleh Najip FC dan ia terbukti apabila Ampuan Md Endy Azri Ampuan Haji Idris mengambil kesempatan itu untuk menambah jaringan pasukannya pada minit ke-64.

LLRC FT semakin ghairah menyerang, namun usahanya tetap sia-sia walaupun nampak masih yakin dapat mengulangi persembahannya pada 3 Mac lalu menerusi dua gol lewat, minit ke-83 dan ke-88 untuk merampas tiga mata dari Najip FC pada ketika itu.

LLRC FT jelas ingin menutup tirai perlawanan dengan gol saguhati, namun Najip FC pula yang sempat menambah jaringan keempatnya pada minit ke-83 menerusi Abang Nur Hilman Abang Nor Hillmy.

Selepas 8 perlawanan, Najip FC kini 16 mata, hanya dua mata di belakang MS PDB di tangga kedua, yang sudah bermain 9 kali, dan satu mata di atas MS ABDB yang jatuh ke tangga keempat, yang juga baru bermain 8 kali, manakala Indera SC kekal di puncak liga dengan 20 mata.

LLRC FT yang tewas malam tadi setelah mengharungi 8 perlawanan kekal di tangga terbawah lima pasukan teratas dengan 12 mata, dua mata di depan Wijaya FC dan tiga mata di depan QAF FC, yang masing-masing menduduki tangga keenam dan ketujuh.

No comments:

Post a Comment