Wednesday, May 7, 2014

Kilanas cemaskan Indera


BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Percaturan taktik berkesan pada separuh masa kedua menyelamatkan maruah Indera SC selepas sikap memandang rendah lawan pada babak pertama mengundang padah apabila Kilanas FC berjaya merobek gawangnya tiga kali untuk selesa menamatkan babak pertama dengan pendahuluan 3-0.

Kebangkitan menarik Indera SC dengan catatan purata sebiji gol setiap sepuluh minit pada babak kedua membuatkan Kilanas FC berputih mata dari mencatatkan kemenangan bersejarah ke atas pendahulu Liga Super DST-NFABD itu sekali gus memberikan kekalahan pertamanya musim ini, sebaliknya Kilanas FC terlepas apa yang sudah dalam genggaman.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE21_0605023148421.jpg


Hamizan Aziz menjaringkan gol pencetus semangat Indera SC pada minit ke-52 dalam kemenangan 4-3 Indera SC ke atas Kilanas FC, semalam.

Lebih mengujakan lagi, perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu sudah nampak memihak kepada Kilanas FC apabila dua beradik Abang Hazim bin Abang Hadzman dan Abang Hariz bin Abang Hadzman sudah membawa Kilanas FC ke depan mendahului 2-0 selepas 13 minit.

Abang Hazim mencipta gol pertama Kilanas FC pada minit kesembilan, manakala abangnya, Abang Hariz mencetak golnya minit ke-13, dan tatkala separuh masa pertama dijangka berakhir dengan 2-0, Abang Hazim masih sempat menjaringkan gol ketiga Kilanas FC.

Sejurus babak kedua bermula, Indera SC sudah menampakkan hasratnya apabila tujuh minit selepas rehat sudah berhasil mengurangkan defisit pendahuluan Kilanas FC kepada hanya dua gol menerusi jaringan Hamizan Aziz bin Sulaiman.

Selang 11 minit kemudian kedudukan menjadi 2-3 selepas Md Asri bin Aspar pula menemui sasarannya di gawang Kilanas FC, dan tepat sepuluh minit selepas itu Md Asri menjaringkan gol lagi untuk mengikat kedudukan kepada 3-3, tatkala perlawanan berbaki 17 minit.

Gol kemenangan Indera diledakkan oleh pemain muda berbakatnya yang baru berusia 21 tahun iaitu Md Nur Ikwan bin Othman, pada minit ke-82 perlawanan bagi memberikan Indera SC tiga mata lagi untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super yang dimenanginya tahun lalu.

Kemenangan 4-3 ke atas Kilanas FC itu mengukuhkan lagi cengkaman Indera SC di persada Liga Super dengan catatan 26 mata daripada 10 perlawanan, lapan mata di depan pencabar terdekatnya, MS ABDB dan MS PDB, masing-masing di tangga kedua dan ketiga ketika ini. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment