Thursday, May 15, 2014

MS PDB pesta gol


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – MS PDB membelasah Kilanas FC 6-1 dalam aksi Liga Super DST-NFABD 2014 di Kompleks Sukan Berakas malam tadi dan tiga daripada golnya dijaringkan oleh Lans Korporal 4828 Jasriman bin Haji Johari.

Kemenangan itu membawanya ke tangga kedua dengan 21 mata dari 11 perlawanan, lima mata di belakang pendahulu Liga Super, Indera SC, yang baru bermain 10 kali, dan hanya satu mata di depan Najip FC di tangga ketiga.

Jasriman membuka tirai jaringan pada seawal minit ke-4 sebelum menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit kemudian. PC5880 Zulhamzi bin Haji Awang mencatatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-19 untuk merubah kedudukan kepada 3-0.
 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE20-FC_1405023102729.jpg

 Jasriman menjaringkan hatrik dalam kemenangan 6-1 MS PDB ke atas Kilanas FC, semalam.

Namun separuh masa pertama berakhir dengan jaringan 3-1 apabila Md Nor Hidayatullah bin Haji Zaini menjaringkan gol buat Kilanas FC pada minit ke-30.

Separuh masa kedua menyaksikan Korporal 4346 Rosmini bin Haji Abdul Kahar mengembalikan pendahuluan tiga gol MS PDB menerusi golnya pada minit ke-56.

Jasriman menjaringkan hatriknya dan gol kelima MS PDB pada minit ke-85, namun tatkala perlawanan seminit lagi akan berakhir, APO6712 Md Syarafuddin Hamdi bin Haji Talip menyudahkan malam gemilang buat MS PDB dengan kemenangan besar 6-1.

Kekalahannya malam tadi merupakan kekalahan kesembilannya musim ini, jumlah kekalahan terbanyak dalam Liga Super musim ini, namun tiga kemenangan yang dicatatnya sebelum ini membolehkannya mengutip 9 mata dan berada di kedudukan kelapan, di atas Majra United (5 mata) dan Jerudong FC (4 mata).

No comments:

Post a Comment