Thursday, June 5, 2014

3 mata penuh untuk MS ABDB


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – MS ABDB yang tidak mampu keciciran mata lagi atau berisiko ditinggalkan jauh oleh Indera SC mencatatkan kemenangan berharga ke atas QAF FC malam tadi dengan jaringan 3-0.

Kemenangan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu terus menghidupkan peluangnya untuk merangkul kejuaraan Liga Super DST-NFABD 2014 sambil terus berharap Indera SC akan keciciran mata pada baki enam perlawanannya nanti.

Jaringan pada separuh masa pertama tercatat pada 1-0 setelah Md Khairuddin bin Abdul Kadir berjaya menggegar gawang QAF FC pada minit ke-11 permainan.

Kedudukan segera berubah menjadi 2-0 pada separuh masa kedua tatkala perlawanan selepas rehat itu baru berlangsung tujuh minit menerusi sentuhan jaringan Abdul Azizi bin Ali Rahman.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE20-FC_0506023113356.jpg

Md Fadhli meraikan gol ketiga MS ABDB seminit sebelum perlawanan tamat.

Dengan mempamerkan pertahanan kental tanpa memberi ruang kepada para penyerang QAF FC walaupun sekadar menghidu peluang untuk melakukan rembatan dari jauh, MS ABDB cuba menyimpan bola selama mungkin dan hanya menyerang jika perlu, tetapi tetap membuahkan hasil satu lagi jaringan pada minit ke-89.

Jaringan ketiga itu dihasilkan oleh penyerang kenitnya yang pantas Md Fadhil bin Haji Awang Salleh, yang berjaya melepaskan diri dari perangkap ofsaid untuk hanya berdepan dengan Awangku Sharil Muiz bin Pengiran Hashim di gawang QAF FC sebelum melambungkan bola ke atas melangkaui jangkauan Awangku Sharil Muiz.

Kemenangan itu membawa jumlah mata MS ABDB meningkat kepada 31 dari 14 permainan, hanya 1 mata di belakang Indera SC, namun Indera SC masih mempunyai dua perlawanan dalam tangan berbanding MS ABDB. QAF FC pula kekal di tangga ketujuh dengan 14 mata dari 14 permainan.

No comments:

Post a Comment