Monday, June 23, 2014

Jerudong FC tambah derita QAF FC


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Jerudong FC mencatat kemenangan keduanya dalam kempen Liga Super DST-NFABD musim ini melalui kemenangan tipis 3-2 ke atas QAF FC malam tadi.

Jerudong FC mendahului seawal minit kesembilan menerusi jaringan Esmendy Brahim, namun Mushready bin Chuchu mengembalikan semula keseimbangan dengan jaringannya pada minit ke-27 untuk mengikat kedudukan pada 1-1.

Jerudong FC menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan satu gol apabila Arif bin Ali Rahman mengelecek cantik dua pertahan QAF FC sebelum melakukan ledakan yang gagal diselamatkan penjaga gol QAF FC bagi membawa kedudukan 2-1 ke babak kedua. QAF FC kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan buat kali kedua setelah Md Abu Bakar bin Mahari mencipta jaringan pada minit ke-58, namun kedudukan 2-2 hanya bertahan lima minit kerana Md Fadhlullah bin Metassan mengembalikan pendahuluan satu gol Jerudong FC.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE21_20140623_A.jpg
Md Fadhlullah (kanan) menjaringkan gol kemenangan Jerudong FC (biru) manakala Arif (7) menjaringkan gol kedua ketika menang 3-2 ke atas QAF FC.

Kemenangan itu memberikan Jerudong FC tiga mata berharga bagi menambah pungutan matanya kepada 11 mata kini, namun masih belum cukup untuknya memperbaiki kedudukannya di tangga kelapan kerana Wijaya FC di tangga ketujuh yang tewas 2-5 kepada Najip FC malam tadi dan QAF FC di tangga keenam, masing-masing kekal dengan 14 mata.

Jerudong FC masih berpeluang naik ke tangga kelapan dengan syarat mesti memenangi kedua-dua baki perlawanannya musim ini untuk mengumpul 17 mata tatkala Wijaya FC hanya memiliki satu baki perlawanan saja lagi, yang jika dimenanginya membawa jumlah matanya kepada 17 juga, dan mungkin memerlukan perbezaan gol menentukan kedudukan kedua-dua pasukan.

No comments:

Post a Comment