Saturday, June 14, 2014

Jerudong, MS PDB sekadar seri


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jun – Selepas selesa mendahului 2-0 pada babak pertama, perubahan dramatik babak kedua menyaksikan Jerudong FC ketinggalan 2-3 seminit di masa kecederaan sebelum Md Enddy Soehardy bin Awang Sapar menjadi wira menyelamatkan satu mata menerusi jaringannya pada minit ke-90+2.
 
Jaringan Md Saiful Rizal bin Haji Awang pada minit ke-90+1 hampir menghadiahkan tiga mata penuh buat MS PDB dalam kebangkitan menarik babak kedua, hanya tiga minit selepas Rosmini bin Haji Abdul Kahar menjaringkan gol penyamaan 2-2 buat MS PDB.

Perlawanan penuh aksi di Kompleks Sukan Berakas itu seolah-olah menjadi milik Jerudong setelah berjaya menembusi gawang MS PDB dua kali di babak kedua hasil jaringan Md Faiz Farhan bin Kamat pada minit ke-21 dan kemudian seminit sebelum rehat sumbangan Hidayatur Rahim bin Aliuddin.

Bagaimanapun, MS PDB berjaya mengejar Jerudong FC pada babak kedua apabila Rosmini menginspirasikan semangat kebangkitan dengan jaringan pertamanya malam tadi hanya dua minit selepas rehat untuk merubah kedudukan kepada 1-2.

Gol kedua Rosmini pada minit ke-88 bagi mengikat kedudukan pada jaringan 2-2 menghidupkan peluang MS PDB untuk meraih mata maksimum, dan hasrat itu hampir menjadi kenyataan apabila Md Saiful Rizal menggegar gawang Jerudong seminit selepas masa sebenar berakhir.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE20-FC_1306023133192.jpg


Penjaring Jerudong FC Md Faiz Farhan (kiri) dan Hidayatur Rahim (dua kiri) dalam keputusan seri 3-3 menentang MS PDB, kelmarin.

Namun kelalaian pertahanan MS PDB di penghujung permainan yang menjangkakan tugas mereka sudah berakhir dengan catatan kemenangan 3-2 mengundang padah apabila Md Enddy Soehardy berjaya menyusup masuk untuk meledakkan jaringan ketiga Jerudong sekali gus memuktamadkan keputusan 3-3.

Jerudong FC kekal di tangga kesembilan dengan 8 mata dari 13 permainan, kini hanya dua mata di belakang Kilanas FC di tangga kelapan yang sudah mengharungi 16 perlawanan.

Manakala MS PDB terus tercicir dari terus menyaingi dua pasukan teratas Liga Super iaitu Indera SC (35 mata, 13 permainan) dan MS ABDB (34 mata, 15 permainan) apabila kutipan matanya kini hanya berjumlah 26 mata dari 14 permainan tatkala baki perlawanannya tinggal empat sahaja lagi.

No comments:

Post a Comment