Tuesday, June 17, 2014

Najip FC kian meningkat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Najip FC naik ke tangga ketiga Liga Super DST-NFABD 2014 dan menjatuhkan MS PDB ke tangga keempat selepas menjaringkan tiga gol di separuh masa kedua untuk menang 3-0 ke atas MS PDB malam tadi.

Tatkala separuh masa pertama berkesudahan 0-0 dalam aksi membosankan kedua-dua buah pasukan, separuh masa kedua menjadi menarik dengan serangan-serangan bahaya terutama sekali dari Najip FC.

Ketua Pasukan Najip FC, Md Karimurrizal bin Kasmi membuka tirai jaringan buat pasukannya pada minit ke-61 sebelum menggandakan jaringan peribadinya dan pasukannya malam tadi empat minit kemudian bagi pantas merubah kedudukan kepada 2-0.

Ketika barisan hadapan MS PDB terus gagal menggugat gawang Najip FC, para pemain Najip FC pula terus ghairah mencari gol tambahan walaupun selepas Md Karimurrizal terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kekejangan kaki.

Usaha berterusan Najip FC membuahkan hasil tiga minit sebelum perlawanan ditamatkan, kali ini menerusi rembatan pemain mudanya, Md Aminuddin Zakwan bin Md Tahir yang baru berusia 19 tahun, dan jaringan 3-0 itu menjadi keputusan muktamad perlawanan.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE21_1706023157412.jpg

Md Karimurrizal (tengah) melakukan rembatan untuk menjaringkan gol kedua dalam
kemenangan 3-0 pasukannya ke atas MS PDB.

Kemenangan itu membawa pungutan mata Najip FC kepada 23 mata dari 12 permainan, sama dengan MS PDB yang sudah bermain 15 kali termasuk perlawanan malam tadi, namun Najip FC memiliki +14 perbezaan gol dari 27 jaringan dan 13 bolos berbanding +4 bagi MS PDB dari 29 jaringan dan 25 bolos. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment