Friday, December 12, 2014

ABDB teruskan rentak cemerlang


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Dis – MS ABDB yang memenangi pingat emas dalam Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) Kedua baru-baru ini, meneruskan kecemerlangan dalam Piala FA DST-NFABD 2014 yang disambung semula, dengan membelasah DSP United 5-0.

Dalam perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi, DSP United, pasukan bukan liga yang sebelum ini mengejutkan pasukan Liga Perdana, Kota Rangers 4-3 menerusi masa tambahan di pusingan kedua terpaksa akur dengan kehebatan MS ABDB.

MS ABDB yang muncul naib juara Liga Super DST-NFABD 2014 sudah selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama menerusi jaringan Md Haizul Rani bin Metussin pada minit ke-12, Awangku Md Safri bin Pengiran Othman pada minit ke-35 dan Affendy bin Haji Akup pada minit ke-41.

Pada babak kedua, DSP United berjaya mengekang MS ABDB daripada menambah jaringan sehinggalah ke penghujung perlawanan apabila MS ABDB akhirnya berjaya membolosi gawang DSP United dua kali dalam dua minit terakhir masa sebenar perlawanan.





Ak Md Safri (11) menjaringkan dua gol manakala Affendy (17) menjaringkan satu gol dalam kemenangan 5-0 MS ABDB ke atas DSP Utd.

Gol keempat MS ABDB dihasilkan oleh Awangku Md Safri untuk gol kedua peribadinya malam tadi, manakala gol kelima dan terakhir MS ABDB dijaringkan oleh Md Khairuddin bin Abdul Kadir pada minit ke-90.

Manakala perlawanan di Kompleks Sukan Berakas malam tadi menyaksikan pemenang ketiga Liga Super DST-NFABD 2014, Najip FC, juga tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan cabaran pasukan Liga Perdana Tunas FC 3-0.

Dua daripada tiga gol Najip FC telah dihasilkan oleh Md Azri bin Zahari iaitu sekali pada minit ke-22 dan sekali pada babak kedua pada minit ke-62, sebelum Ampuan Md Endy Azri bin Ampuan Haji Idris menjaringkan gol ketiga Najip FC pada minit ke-78.

No comments:

Post a Comment