Wednesday, December 3, 2014

MS PDB ke separuh akhir


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – MS Polis Diraja Brunei (PDB) hanya perlu seri dengan Royal Brunei (RB) FC malam tadi untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam (SKBD) II tetapi perlu menang sekurang-kurangnya 1-0 untuk mara sebagai Juara Kumpulan B, dan MS PDB memilih pilihan kedua.

Pada perlawanan di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, RB FC mempamerkan aksi kental, namun MS PDB tidak berputus asa dan terus melakukan asakan.

Kesabaran MS PDB membuahkan hasil apabila penjaring utamanya di sepanjang kempen Liga Super DST-NFABD 2014 yang lalu, Jasriman bin Haji Johari melakukan yang terbaik dilakukannya iaitu membolosi gawang lawan, sembilan minit sebelum masa sebenar perlawanan tamat.

Kemenangan itu membawanya ke puncak Kumpulan B dengan 9 mata, sama dengan Daerah Belait tetapi mempunyai kelebihan dalam perbezaan jaringan, +8 dari 12 jaringan dan 4 bolos berbanding +6 dari 13 jaringan dan 7 bolos yang dicatat Daerah Belait.


Jasriman (dua kanan) muncul wira MS PDB dengan jaringan minit ke-81 untuk menundukkan RB FC dan mara ke separuh akhir.



MS PDB (hitam) ketika RB FC dalam aksi Kumpulan B SKBD 2014 di Stadium Negara.

Dalam perlawanan dari kumpulan yang sama di Kompleks Sukan Berakas (KSB) malam tadi, Brunei Shell Joint Venture (BSJV) mengejutkan Daerah Temburong dalam pesta sembilan gol 6-3, tetapi hanya cukup untuk BSJV menghuni tangga ketiga dengan 6 mata.

BSJV mendahului 4-0 di separuh masa pertama menerusi dua jaringan Md Haris Mahari pada minit ke-16 dan ke-36, Md Amirul Tuah pada minit ke-19 dan Md Hadi Syahiran pada minit ke-40.

Md Noorhishan Yakup menjadikan kedudukan 5-0 di separuh masa kedua pada minit ke-58, sebelum Daerah Temburong mula mendapat gol menerusi Petrus Jumat pada minit ke-69 dan dua gol dari Awangku Md Azreeneskandar Pengiran Haji Saoda pada minit ke-77 dan ke-90 untuk menjadikan kedudukan 5-3.

Namun dua minit dalam masa kecederaan, Md Haris Mahari menghasilkan hatrik untuk mematikan semangat kebangkitan Daerah Temburong sekali gus memuktamadkan perlawanan dengan kemenangan 6-3 BSJV ke atas Daerah Temburong.

Setelah berakhirnya peringkat kumpulan, Daerah Temburong dan RB FC masing-masing di kedudukan keempat dan kelima dengan 3 mata tetapi Daerah Temburong di tempat keempat dengan kelebihan jaringan iaitu 9 jaringan berbanding hanya 6 jaringan bagi RB FC, tatkala perbezaan gol kedua-dua buah pasukan terikat pada -6.

No comments:

Post a Comment