Thursday, January 22, 2015

MS ABDB elak ‘pisang berbuah 3 kali’




Oleh Abdul Rahim Haji Ismail & Hasrulraizan

Gambar oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan  – “Kami akan pastikan pisang tidak akan berbuah tiga kali,” ujar Pengurus MS ABDB, Mejar (U) Pengiran Muhd Farisan bin Pengiran Haji Metassan, tetapi Pengurus Indera SC, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz menegaskan, “Kami akan pastikan pisang berbuah tiga kali.”

Rujukan pisang berbuah tiga kali pada kemungkinan kejuaraan tiga kali berturut-turut Indera SC dalam Liga Super DST itu telah diutarakan oleh kedua-dua pengurus pasukan kepada media semasa Sidang Media Piala Sumbangsih DST 2015 di Ibu Pejabat DST hari ini.

Pada sidang media yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan NFABD, Haji Md Noor bin Haji Hamid itu, kedua-dua pengurus menegaskan pasukan mereka tidak sesekali memandang ringan Piala Sumbangsih DST 2015 bahkan kedua-duanya akan bermain bersungguh-sungguh untuk menjulang piala pembuka tirai Liga Super DST-NFABD 2015 berkenaan.










Dari kanan.. Mejar (U) Pengiran Muhd Farisan, Haji Md Noor dan Awang Rosdin semasa Sidang Media Piala Sumbangsih DST 2015 di Ibu Pejabat DST hari ini.

Piala Sumbangsih DST tidak kurang pentingnya dengan Piala Liga Super DST dan Piala FA DST kerana apabila MS ABDB bermain bolasepak, maruah MS ABDB menjadi taruhannya, maka oleh sebab itulah kami mesti menang untuk menjaga maruah MS ABDB, tegas Mejar (U) Pengiran Muhd Farisan.

Manakala Awang Rosdin menegaskan Piala Sumbangsih sama pentingnya kerana ia merupakan pembakar semangat para pemain demi membuktikan kehebatan pasukan di perlawanan pembuka tirai lebih-lebih lagi piala berprestij itu masih belum berjaya dimiliki Indera SC walaupun sudah dua kali menjuarai Liga Super DST.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan, Mejar (U) Pengiran Muhd Farisan memberitahu MS ABDB tidak pernah berhenti berlatih walaupun selepas memenangi Piala FA DST buat kali keduanya pada 4 Januari 2015 yang lalu apabila mengalahkan Najip FC 2-0 di perlawanan akhir.

Sementara Awang Rosdin mendedahkan Indera SC mengalami kesukaran untuk mengadakan latihan atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, yang melibatkan para pemain utamanya, namun beliau tetap menegaskan bahawa Indera SC akan menurunkan 11 pemain terbaiknya yang ada untuk mencari kemenangan demi tidak menghampakan para penyokong Indera SC.

Piala Sumbangsih DST 2015 menjadi petanda bermulanya musim baru liga bolasepak kebangsaan: Liga Super DST 2015 dan Liga Perdana DST 2015, yang mempertemukan Juara Liga Super DST 2014, Indera SC dengan Juara Piala FA DST 2014, MS ABDB. Musim lalu iaitu Piala Sumbangsih DST 2014 telah turut menyaksikan pertembungan antara MS ABDB selaku Juara Piala FA DST 2013 dengan Indera SC selaku Juara Liga Super DST 2013, yang telah dimenangi MS ABDB dengan jaringan 2-1.

Piala Sumbangsih DST 2015 dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 24 Januari 2015 ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah bermula pukul 8:00 malam.

No comments:

Post a Comment