Monday, April 20, 2015

Lun Bawang, MS PDB sekadar seri



Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Jaringan masa kecederaan Mohd Alikhan bin Haji Mohd Yakob menyelamatkan satu mata Lun Bawang, sekali gus melenyapkan harapan MS PDB yang sudah bersedia meraikan kejayaan meraih tiga mata.

Persaingan Liga Super DST 2015 di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu diterajui MS PDB setelah Lans Korporal Jasriman bin Haji Johari meledakkan jaringan pada minit ke-31.

Jaringan itu seolah-olah sudah cukup untuk MS PDB membawa pulang tiga mata tatkala masa sebenar perlawanan sudah berakhir dan masa kecederaan tiga minit yang diberi pengadil semakin menghampiri penghujungnya.

Namun Lun Bawang memanfaatkan sepenuhnya sepakan percuma yang diberikan kepada mereka berdekatan petak pada minit ke-90+3 untuk menjadikan sepakan terakhir perlawanan sebagai sepakan berharga satu mata yang berjaya menerjah gawang MS PDB.

Keputusan seri itu berjaya melonjakkan MS PDB satu anak tangga ke tangga ketiga dengan empat mata, sama dengan kutipan mata Tabuan Muda di tempat kedua, hanya sahaja Tabuan Muda memiliki enam jaringan dan dua bolos berbanding hanya dua jaringan dan dua bolos.


MS PDB dan Lun Bawang terikat 1-1 dalam saingan Liga Super DST 
di Balapan & Padang KSNHB semalam.

No comments:

Post a Comment