Tuesday, December 8, 2015

Tabuan Muda hampakan DSP United

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – DSP United hampir menjadi kelab non-liga kedua mara ke peringkat suku akhir Piala FA DST 2015 mengiringi Tabuan B16 sebelum tumbang 4-3 dalam sepakan penalti penentuan kepada Tabuan Muda apabila terikat 1-1 dalam masa sebenar untuk agregat 5-4.

DSP United memimpin perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) berkenaan menerusi jaringan Wan Firdaus bin Haji Hamidon pada minit ke-26 dan kedudukan 1-0 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

Separuh masa kedua menyaksikan Tabuan Muda lebih agresif menyerang tetapi tuah nampak seolah-olah menghindari mereka apabila mereka terlepas beberapa peluang keemasan yang sepatutnya menghasilkan gol.

Lebih membimbangkan lagi apabila percubaan-percubaan bahaya itu datang daripada penjaring utamanya, Mohd Nur Syazwan bin Halidi yang sepakannya sering melangkaui palang tatkala hanya berdepan penjaga gol dan ketua pasukan, Mohd Shafie bin Mohd Effendy yang terlepas menyepak bola masuk di tepi tiang gol tatkala penjaga gol lawan sudah tertewas.
Aksi Piala FA DST 2015 di KSB antara Tabuan Muda (hitam) dengan DSP United yang berkesudahan agregat 5-4 selepas sepakan penalti penentuan.
Aksi Piala FA DST 2015 di KSB antara Tabuan Muda (hitam) dengan 
DSP United yang berkesudahan agregat 5-4 selepas sepakan penalti penentuan.
Namun tiada siapa dapat menjangka di sebalik nasib malang yang menghantar pesan kehampaan kepada seluruh Tabuan Muda itu, tiba-tiba sepakan lambung tinggi tidak bahaya Awangku Mohd Faezuddin dari sayap kanan pula masuk menerjah gawang DSP United.

Melihat bola yang betul-betul turun menujunya itu, penjaga gol DSP United tanpa sebarang cabaran daripada pemain lawan kerana tiada pemain lawan berada dekatnya pada masa itu, melompat tinggi untuk mendapatkan bola tetapi perkiraannya nampak silap apabila lompatannya sedikit ke depan menyebabkan bola jatuh di belakangnya.

Demi membetulkan keadaan dan memastikan bola tidak terlepas, penjaga gol DSP United membengkokkan badan dan tangannya ke belakang sehingga sempat menepis bola menggunakan hujung jarinya yang malangnya ‘menolak’ bola masuk ke gawang sendiri pula.

Jaringan penyamaan tidak terduga pada kedudukan tidak bahaya yang berlaku pada minit ke-74 itu menggembirakan Tabuan Muda dan sebaliknya menghampakan pemain DSP United sehingga ada yang terus terbaring di atas padang.

Kedudukan 1-1 kekal sehingga perlawanan berakhir sekali gus memaksa perlawanan disambung ke masa tambahan. Namun masa tambahan masih tidak dapat memisahkan kedua-dua pasukan dan perlu ditentukan menggunakan sepakan penalti penentuan yang berkesudahan 4-3 memihak Tabuan Muda. Mohd Nur Syazwan, Mohd Khairil Shahme bin Suhaimi, Nurul Hadi dan Mohd Khalid Wassadisalleh bin Haji Mahmud berjaya menyempurnakan sepakan penalti masing-masing untuk Tabuan Muda.

Manakala hanya tiga daripada lima pemain DSP United berjaya dalam sepakan penalti masing-masing iaitu Pengiran Mohd Rijaluddin bin Pengiran Haji Rajid, Mohd Adhwa Waliyuddin bin Haji Roslani dan Muhd Rakin bin Ramli.

1 comment:

  1. Muscle groups they desire relax also They cannot mend adequately through previous workout routines if they may not be rested plenty of At the most educate them two times per week Pro Muscle Fit When you desired to increase ones biceps anyone couldnt perform curls each day do you Certainly not necessarily You should function them a few times a week Your.

    http://www.supplement4fitness.in/pro-muscle-fit.html

    ReplyDelete