Tuesday, March 20, 2018

Indera SC buktikan kemampuan


Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mac – Indera SC (ISC) menjadi pasukan pertama melangkah ke pusingan akhir Piala FA Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam – DST tahun 2017 apabila jaringan Mohd Aminuddin Zakwan Mohd Tahir membawa pasukan itu ke peringkat akhir sekali gus membenam harapan Pasukan Kasuka FC untuk menjulang kejuaraan musim ini di Kompleks Sukan Berakas tempoh hari.
Ketika dihubungi mengenai kejayaan Indera SC, timbalan presiden merangkap pengurus Pasukan ISC, Rosdin Haji Abdul Aziz melahirkan rasa bersyukur kerana ISC telah berjaya sebagai pasukan pertama yang layak memasuki peringkat akhir, meskipun laluan ISC agak mudah tetapi hakikatnya tidak kerana pasukan yang dihadapinya memberikan tentangan hebat.
Menurutnya, ISC pernah memasuki peringkat akhir Piala FA sebanyak dua kali namun tidak pernah menjuarainya apabila kedua-dua perlawanan tersebut tewas di tangan Pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB).
“Saya merasakan Pasukan MS ABDB sebagai juara bertahan dan MS PDB yang telah menunjukkan persembahan yang meningkat tahun ini akan menjadi pencabar utama ISC dan ia sudah setentunya menjadikan separuh akhir kedua ini nanti akan lebih menarik apatah lagi ia menampilkan dua skuad elit negara yang sememangnya terkenal.”

Mohd Aminuddin (hitam, 10) mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Mohd Fu’ad (kiri) meledak gol kemenangan MS PDB (putih) pada minit ke-119. – Gambar oleh Hasrulraizan

Kedua-kedua pasukan jelasnya lagi mempunyai kekuatannya tersendiri, di mana MS ABDB mungkin mempunyai kelebihan sedikit kerana mereka merupakan juara bertahan dan sudah pasti pengalaman bermain di separuh akhir dan akhir tidak menjadi penghalang.
“Namun kita tidak boleh memandang rendah kepada Pasukan MS PDB yang kebanyakannya dibarisi oleh pemain-pemain baharu dan digembleng dengan pemain lama yang berpengalaman seperti Rosmini Kahar dan Jasriman Johari pasti akan membawa pasukan itu ke satu tahap yg lain, tambahnya.
Beliau turut menegaskan setakat ini, ISC akan bekerja keras untuk meningkatkan lagi persiapan ke arah peringkat akhir walaupun salah seorang pemainnya, Hamizan Aziz Sulaiman tidak dapat beraksi sejak permulaan kejohanan ini kerana mengalami kecederaan.
“Perancangan dan persiapan untuk final ini sepertimana yang ditegaskan oleh ketua jurulatih, Awang Darus Tanjung adalah untuk meningkatlah lagi stamina dan kecerdasan para pemain di samping merancang strategi yang terbaik berpandukan perlawanan-perlawanan sebelum ini,” tegasnya.
Beliau turut mengambil kesempatan selaku pengurus Pasukan ISC ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan ISC dan pemain-pemain ISC kerana telah bekerja keras dan berusaha gigih sehingga berjaya membawa pasukan hingga ke peringkat akhir.

No comments:

Post a Comment