Wednesday, January 16, 2013

Indera rampas puncak liga


Oleh Hasrulraizan

Penjaring gol ketiga Indera SC Md Khayrun mengawal pergerakan serangan Indera SC dari tengah padang.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan - Sudah masuk minggu keempat persaingan Liga Super DST-Brunei 2012/2013 berlangsung dan persada liga bertukar tangan hampir setiap selepas satu-satu perlawanan itu dijalankan termasuk perlawanan terakhir Minggu Keempat malam ini menyaksikan Indera SC merampas semula kedudukan teratas.

Setelah MS ABDB memintas Majra United FC semalam sekaligus menggugurkan Indera SC ke tempat ketiga, Indera SC bermain penuh yakin malam ini untuk merebut semula kedudukan yang dipegangnya selepas berakhir Minggu Ketiga itu bagi memberikan kekalahan pertama kepada Jerudong FC dengan jaringan 3-2, bagi mengumpul 10 mata.

Pada perlawanan di Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Indera SC memulakan misi menawan semula puncak liga dengan strategi serangan berterusan yang terbukti membuahkan hasil pada minit ke-11 menerusi jaringan pertahanannya berjersi 6, Abdul Mu'iz Sisa melalui serangan balas pantas, sejurus gawangnya hampir dibolosi Jerudong FC.

Gol kedua Indera SC hadir pada minit ke-20 dari sepakan percuma di sebelah kanan gawang Jerudong FC, yang disepak oleh Sahrin Momin sebelum terkena benteng Jerudong FC sekaligus melantun melangkaui jangkauan penjaga gol Jerudong FC yang sudah tersalah langkah dan terus menerjah jaring.

Jerudong FC sempat menjaringkan gol dua minit kemudian menerusi tandukan Md Enddy Zulyady Awang Sapar, yang menerima hantaran rakannya dari sepakan sudut sebelah kiri, dan kedudukan 2-1 kekal sehingga babak pertama berakhir.

Ketika tanda-tanda kebangkitan Jerudong FC diteruskan di separuh masa kedua, Mohammad Khayrun Salleh tidak semena-mena menjaringkan gol ketiga Indera SC pada minit ke-59, menerusi gerakan solo dan rembatan kencangnya yang menggegar gawang Jerudong FC.

Perlawanan akan berakhir dalam tempoh seminit saja lagi dan tiba-tiba Jerudong FC menghantar pesanan cemas kepada Indera SC apabila Muhd Abu Bakar Mahari menjadikan kedudukan 2-3, namun ketika pengadil meniup wisel penamat, perlawanan kekal menjadi milik Indera SC dengan kemenangan tipis 3-2.

Tatkala malam ini merupakan penutup tirai Minggu Keempat, perlawanan antara QAF FC dengan Wijaya FC telah pun ditangguhkan, namun apa pun keputusan perlawanan itu nanti tidak akan mengubah kedudukan empat teratas liga.

Yang boleh merubah kedudukan teratas liga adalah perlawanan Minggu Kedua yang tertangguh iaitu antara MS ABDB dengan QAF FC.

No comments:

Post a Comment