Wednesday, January 23, 2013

Kilanas FC membelasah Najip FC dengan jaringan 7-1

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 21 Januari. - Kilanas FC membelasah Najip FC dengan jaringan 7-1 dalam Liga Super DST 2012/2013 malam ini di Kompleks Balapan dan Padang di sini.

Najip FC sudah tertinggal 4-0 di separuh masa pertama dengan jaringan terawal yang dibuat pada minit ke-7 oleh Mohammad Azmi Haji Zainin dan sekali lagi di minit ke-19 malah sepuluh minit kemudian Mohammad Khalid Wassadi Salleh menambah derita Najip FC untuk gol ketiga Kilanas FC, seminit sebelum separuh masa pertama tamat Awangku Khairul Lizam Pengiran Bungsu pula menyumbat gol ke empat Kilanas FC.

Bermula separuh masa kedua dimainkan, Najib FC cuba mencari gol semangat dengan menggandakan serangan tetapi pertahanan Kilanas FC lebih kental mudah saja mematahkan hajat penyerang Najip FC.

Pada minit ke-62 Kilanas FC berjaya lagi membolosi gawang Md. Norshah Md. Harris penjaga gol Najip FC bagi gol kelima hasil jaringan Mohd. Nur Hidayattulah Haji Zaini. 




AKSI perlawanan kedua pasukan antara Kilanas FC dan Najip FC dalam Liga Super DST 2012/2013. (Foto : Azmah Haji Ahad) 

 
Kedudukan yang semakin lega itu Kilanas FC tetap terus mengganas melalui gol penalti oleh Md. Nazirul Zulhimi Ahmad setelah permainan kasar salah seorang pertahanan Najip FC ternyata menghukum pasukan sendiri di minit ke-79.  Seminit kemudiannya pertahanan Kilanas FC pula membuat kesilapan dengan menghadiahkan Najip FC sepakan penalti kerana salah seorang pertahanan Kilanas FC menjatuhkan penyerang di kawasan terlarang, peluang ini tidak disiakan Huzaimi Haji Tengah dengan mudah menyepak masuk bagi gol tunggal Najip FC di minit ke-80.

Sementara perlawanan berbaki enam minit, Mohd. Nor Hidayattullah sekali lagi berjaya menyumbat gol bagi Kilanas FC di minit ke-84 bagi menjadikan kedudukan 7-1.

Pengadil, Endy Vyzunmei Haji Zainuddin memberi tambahan masa empat minit untuk kedua pasukan menambah jaringan namun kedudukan tetap tidak berubah dengan Kilanas FC menang atas Najip FC dengan jaringan 7-1.

Dengan kemenangan ini Kilanas FC mengumpul empat mata sambil menduduki tangga ke-8 memintas Wijaya FC buat sementara, manakala Najip FC terus menghuni tangga tercorot belum memiliki sebarang mata.
(Oleh : Abdullah Asgar)


No comments:

Post a Comment