Wednesday, January 23, 2013

MS PDB tewaskan pasukan Wijaya FC, 2-1

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 Januari. - Pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) menang tipis ke atas pasukan Wijaya FC berkesudahan 2-1 dalam Perlawanan Super Liga DST 2012/2013, berlangsung di Kompleks Balapan dan Padang Berakas di sini. 

Pada separuh masa pertama permainan berlangsung, kedua-dua pasukan gagal meraih sebarang jaringan walaupun beberapa kali percubaan dilakukan sehinggalah tamat separuh masa pertama dengan kedudukan terikat 0-0. 

Beraksi semula di separuh masa kedua, Wijaya FC yang berjersi putih mengatur cara permainan mereka dan berjaya menyumbat gol pertamanya di minit ke-50 menerusi pemain jersi 20, Abang Muhd. Fakhri Abang Jaludin setelah lima minit masa permainan di separuh masa kedua bermula. 

MS PDB yang dahagakan gol juga membuat strategi baru dalam separuh masa kedua dengan bijak mengawal bola hinggakan beberapa kali terlepas peluang jaringan. 

Mohd. Huzairol Mohd. Idris berjaya menjaringkan gol penyamaan bagi pasukannya, MS PDB di minit ke-83 sekali gus memberi tekanan kepada pasukan lawan. 

Lima minit kemudian, MS PDB mencipta lagi gol keduanya menerusi Mohd. Fazizzul Hussin, jersi 14 yang tercipta akibat dari kelalaian benteng pertahanan pasukan Wijaya FC beberapa minit sebelum tamat separuh masa kedua. 

Kedua-dua pasukan cuba untuk menambah jaringan masing-masing di masa tambahan tiga minit yang di berikan oleh pengadil tetapi tiada sebarang gol berhasil dijaringkan sehingga wisel tamat perlawanan ditiupkan. 

Dengan kemenangan tersebut, MS PDB berjaya mengutip tiga lagi mata untuk menaikkan kedudukan pasukan tersebut di carta liga.
(Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman)

No comments:

Post a Comment