Wednesday, January 23, 2013

Pasukan QAF FC tumpaskan pasukan LLRC FT 2-0

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumat, 18 Januari. - Pasukan QAF FC berjaya mencatatkan kemenangan pertamanya di Kejohanan Bola Sepak Liga Super DST 2012/2013 selepas menundukkan pasukan LLRC FT dengan jaringan 2-0 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini.

Dengan kemenangan tersebut, pasukan QAF FC merubah kedudukannya dari tangga ke-8 naik ke tangga ke-7 memintas pasukan Wijaya FC selepas memperolehi empat mata hasil dari tiga perlawanan iaitu sekali menang, sekali seri dan sekali kalah. 

Namun berada ditingkat atas kedudukan liga buat sementara ini masih lagi dikuasai oleh pasukan Indera SC selepas mengutip sepuluh mata hasil tiga kali menang dan sekali seri.


PEMAIN Penyerang QAF FC (jersi jingga) semasa melepaskan diri dari kawalan pertahanan pemain LLRC FT (jersi biru). (Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 
 
Manakala pasukan MS ABDB yang mengekalkan rekod kemenangan dari tiga kali perlawanan mengutip sembilan mata berada di kedudukan kedua dan pasukan Majra FC berada di tempat ketiga selepas mengumpul lapan mata. 

Pasukan QAF FC lebih bijak manfaatkan peluamg apabila mendahului dengan jaringan pertama yang dihasilkan menerusi Md. Hafis Mahari sekali pun dikawal rapat oleh Md. Nazrullah selepas menerima lorongan bola dari Mardi Mirza pada minit ke-14. 


Selepas berada di hadapan pasukan QAF FC ternyata lebih ghairah untuk menambah jaringan namun beberapa percubaan yang sepatutnya menjadi hasil tuaian terbiar dengan sepakan songsang.




PEREBUTAN Bola di antara pemain QAF FC (jersi jingga) dengan pemain LLRC FT (jersi biru) di Perlawanan dalam Liga Super DST 2012-2013.
(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 
 
Pasukan LLRC FT yang cuba merapatkan kedudukan dengan melancarkan gerakan menerusi Safuan Juhar dari sebelah kanan kurang mendapat bantuan rakan sepasukannya dan ini secara langsung memudahkan pasukan lawan mematahkan gerakannya. 

Dengan suntikan semangat semasa rehat separuh masa pertama, rentak pasukan LLRC FT terserlah lebih baik dari sebelumnya apabila acap kali melakukan ancaman bahaya seperti kejadian pada minit ke-52 apabila percubaan Awangku Md. Azrul Ariffin terhadang oleh tiang gol sekali pun sudah melewati hadangan pertahanan musuh. 


Tanpa terduga pasukan QAF FC sebaliknya berjaya meledakkan jaringan kedua pada minit ke-73 menerusi pemain gantian Hardi Anak Bujang yang dimasukkan pada minit ke-72 setelah menerima umpanan dari sepakan bebas dari tengah padang.



PEMAIN dari LLRC FT (jersi biru) semasa merlarikan bola dari dirampas oleh pemain QAF FC (jersi jingga). (Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali) 
 
Pengurus Pasukan QAF FC, Rahim bin Haji Daud di akhir perlawanan melahirkan perasaan berpuas hati dengan kesudahan perlawanan malam ini. 

Menurutnya matlamat yang dirancang telah menepati sasaran namun tidak menafikan bahawa masih banyak lagi yang perlu diperbaiki terutama di bahagian tengah. 


Katanya dengan kemenangan pertama ini beliau berharap moral anak buahnya semakin terangkat sekali pun sebelum ini dua perlawanan yang sepatutnya mereka beraksi ditunda ke lain waktu.
(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)


No comments:

Post a Comment