Wednesday, January 22, 2014

LIGA SUPER BUKA TIRAI


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sam Prank menyelamatkan 1 mata buat QAF FC apabila dua kali membatalkan pendahuluan Jerudong FC pada setiap separuh masa untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam ini.

Dalam perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam musim baru kancah Liga Super DST-NFABD 2014 berkenaan, Jerudong FC mendahului 1-0 pada minit ke-20 hasil jaringan Md Juremi Haji Zaini
.
Namun tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir, Sam Prank memastikan QAF FC akan memulakan separuh masa kedua nanti masih setara dengan Jerudong FC dengan jaringan 1-1.


Sam Prank QAF FC (jersi 20 oren) mengawal bola semasa aksi pembuka tirai Liga Super yang berkesudahan seri 2-2 menentang Jerudong FC.

Walau bagaimanapun, Jerudong FC mengembalikan pendahuluan satu golnya pada minit ke-55 menerusi serangan balas pantas dari sayap kanan, yang pada mulanya berjaya ditampan penjaga gol QAF FC tetapi bola yang muntah betul-betul di kakinya tidak disia-siakan oleh Enddy Soehardy bagi merembat bola ke gawang yang ternganga di depannya.

Ketinggalan semula, kini dengan jaringan 1-2, membuatkan QAF FC menggandakan usaha dengan serangan-serangan bola hantaran jauh yang akhirnya membuahkan hasil apabila Sam Prank bijak menggunakan ruang terhidang untuk menggegar gawang Jerudong FC pada minit ke-73.

Walaupun kedua-dua buah pasukan terus berbalas-balas serangan mencari gol kemenangan, pertahanan kedua-dua pasukan bertahan kental bagi akhirnya kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan keputusan seri 2-2 berkenaan.

Liga Super DST-NFABD 2014 akan diteruskan lagi pada 25 Januari ini dengan perlawanan antara Majra United dan Kilanas FC, dan kemudiannya pada 26 Januari bagi perlawanan antara Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei dengan Wijaya FC, kedua-duanya bermula pukul 8:15 malam di tempat yang sama iaitu Balapan & Padang, KSNHB.

No comments:

Post a Comment