Oleh Hasrulraizan
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Jan – Sam Prank menyelamatkan 1
mata buat QAF FC apabila dua kali membatalkan pendahuluan Jerudong FC
pada setiap separuh masa untuk mencatatkan keputusan seri 2-2 di Balapan
& Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam ini.
Dalam perlawanan pertama bagi kedua-dua pasukan dalam
musim baru kancah Liga Super DST-NFABD 2014 berkenaan, Jerudong FC
mendahului 1-0 pada minit ke-20 hasil jaringan Md Juremi Haji Zaini
.
Namun tiga minit sebelum separuh masa pertama berakhir,
Sam Prank memastikan QAF FC akan memulakan separuh masa kedua nanti
masih setara dengan Jerudong FC dengan jaringan 1-1.
Walau bagaimanapun, Jerudong FC mengembalikan
pendahuluan satu golnya pada minit ke-55 menerusi serangan balas pantas
dari sayap kanan, yang pada mulanya berjaya ditampan penjaga gol QAF FC
tetapi bola yang muntah betul-betul di kakinya tidak disia-siakan oleh
Enddy Soehardy bagi merembat bola ke gawang yang ternganga di depannya.
Ketinggalan semula, kini dengan jaringan 1-2, membuatkan
QAF FC menggandakan usaha dengan serangan-serangan bola hantaran jauh
yang akhirnya membuahkan hasil apabila Sam Prank bijak menggunakan ruang
terhidang untuk menggegar gawang Jerudong FC pada minit ke-73.
Walaupun kedua-dua buah pasukan terus berbalas-balas
serangan mencari gol kemenangan, pertahanan kedua-dua pasukan bertahan
kental bagi akhirnya kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi
satu mata dengan keputusan seri 2-2 berkenaan.
No comments:
Post a Comment