Oleh Hasrulraizan
Dengan kekalahan ini, Wijaya FC menamatkan kempen Liga Super dengan
14 mata selepas menang empat, dua seri dan 10 kalah untuk selesai di
tangga ketujuh selepas pasukan Jerudong FC seri 0-0 dengan Najip FC
malam ini untuk menamatkan kempen dengan hanya 12 mata.
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – QAF FC mencatat dua
sejarah dalam Liga Super DST-NFABD 2014 untuk gol terpantas dan jumlah
jaringan terbanyak dalam satu perlawanan, sekali gus memperbaiki
perbezaan golnya dari -3 kepada +5 selepas membelasah Wijaya FC 8-0
malam tadi.
Hanya beberapa saat dari sepak mula, QAF FC sudah
membuka tirai jaringan menerusi Md Adie Arsham bin Md Salleh, sebelum
digandakan oleh Md Mardi Mirza bin Abdullah Bujang selang 14 minit
kemudian.
Kedudukan 3-0 pada minit ke-29 menerusi jaringan Saiful
Arizal bin Haji Ishak, dan dua minit kemudian QAF FC terus ke depan
dengan gol kedua Md Adie Arsham untuk mendahului 4-0.
Kemudian giliran Hardi anak Bujang pula mencatatkan
namanya dalam buku catatan penjaring pada minit ke-34, dan kedudukan 5-0
kekal sehingga separuh masa pertama tamat.
Walau bagaimanapun, pada perlawanan di Kompleks Sukan
Berakas itu, QAF FC terus menambah gol keenam, enam minit selepas rehat
menerusi rembatan Md Mardi Mirza.
Pada minit ke-64 kedudukan menjadi 7-0 apabila Afindi
Yati bin Tuah pula menyumbangkan gol buat QAF FC, dan ketika jaringan
7-0 sudah cukup besar, Md Mardi Mirza masih sempat mencipta hatrik
apabila melencongkan bola dari sepakan percuma depan kotak Wijaya FC
yang menerjah gawang kiri untuk gol kelapan QAF FC.
QAF FC setakat ini sudah mengumpul 17 mata, satu baki
permainan, dengan lawan terakhirnya September nanti adalah pendahulu
Indera SC, dan satu-satunya peluang untuknya mencapai 20 mata adalah
menjadi pasukan pertama mengalahkan Indera SC. Indera SC hanya perlu
seri dengan QAF FC untuk mengesahkan kejuaraan musim ini.