Monday, April 7, 2014

Indera SC berpesta gol


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – Indera SC menang lagi malam tadi dengan membelasah Wijaya FC 5-0 bagi mengumpul tiga mata lagi di perlawanan keenam bertuahnya dalam kancah Liga Super DST-NFABD 2014 apabila mula mendaki ke puncak sekaligus menjatuhkan Majlis Sukan (MS) Polis Diraja Brunei (PDB) ke tangga kedua.

Indera SC sendiri tidak menjangkakan tuahnya pada perlawanan di Kompleks Sukan Berakas (KSB) itu apabila sudah mendahului 1-0 seawal minit pertama menerusi jaringan Md Zulkhairy Razali.
Gol kedua Indera SC tidak hadir segera tetapi 27 minit kemudian hasil jaringan Reduan Haji Petara, dan kedudukan 2-0 itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/P22-2_20140407.jpg

Md Khayrun Salleh dari Indera SC (kanan) ketika beraksi dalam kemenangan 5-0 ke atas Wijaya FC malam semalam.

Perlawanan ketandusan gol buat waktu yang lama di separuh masa kedua iaitu hanya selepas 23 minit ia bermula barulah Indera SC berjaya menambah golnya lagi, kali ini menerusi jaringan Abdul Khair Haji Basri.
Sembilan minit kemudian kedudukan Indera SC bertambah selesa dengan pendahuluan 4-0, dengan jaringan keempat Indera SC itu dihasilkan pula oleh Md Nur Ikwan Othman.

Md Khairul Anwar Abdul Rahim melengkapkan gol kelima Indera SC tiga minit sebelum perlawanan ditamatkan bagi rekod seorang pemain satu gol dalam perlawanan berkenaan, yang menjadi bukti bahawa bukan penyerangnya saja boleh menjaringkan gol tetapi hampir kesemua pemainnya termasuk pemain pertahanan.

Setelah mengutip tambahan tiga mata berkenaan, Indera SC kini mengumpul 16 mata di persada Liga Super DST-NFABD 2014, satu mata di depan MS PDB di tempat kedua dengan kelebihan berbaki satu perlawanan berbanding MS PDB, dan tiga mata di depan Najip FC di tempat ketiga.

No comments:

Post a Comment