Monday, April 7, 2014

Kilanas mangsa kebangkitan LLRC FT


BANDAR SERI BEGAWAN, 6 April – LLRC FT pulih daripada permulaan yang goyah tepat pada masanya untuk menang 5-2 ke atas Kilanas FC malam tadi bagi membolehkannya memintas QAF FC di tangga kelima.

Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Kilanas FC mengejutkan LLRC FT apabila mendahului pada minit ke-24 menerusi jaringan Md Khalis Sarabaya.
Pendahuluan itu hanya bertahan lapan minit saja apabila Md Hakeem Keri LLRC menyamakan kedudukan, dan kebangkitan itu berterusan apabila tujuh minit kemudian LLRC pula mendahului 2-1 menerusi jaringan Awangku Md Azrul Ariffin Pengiran Matussin.
 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/04/P22-3_20140407.jpg

Amirul Zafrey LLRC dan Md Nazirul Zulhilmi (kanan) dalam aksi Liga Super di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah semalam.

Ketika perlawanan separuh masa pertama hampir tamat, pemain muda berbakat LLRC FT Awangku Md Haikal Pengiran Zaidi meledakkan gol ketiga pasukan pada minit ke-44. Babak kedua agak berbeza apabila Kilanas FC nampak lebih bertenaga dengan serangan pantas menggunakan kedua-dua sayapnya untuk menewaskan pertahanan LLRC FT.

Usaha mereka akhirnya menggegar gawang LLRC FT buat kali kedua pada minit ke-49, hanya empat minit selepas separuh masa kedua bermula, menerusi jaringan Naasiruddeen Wahab.

Jaringan itu menggentarkan LLRC FT dan pemain Kilanas FC berusaha untuk mencari gol penyamaan pula, namun usaha mereka dipatahkan apabila Md Amirul Zafrey Md Norshaney menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke-68.

Md Amirul Zafrey mudah menendang bola masuk ke gawang terbuka Kilanas setelah menerima hantaran silang rendah dari Md Hakeem Keri, yang berpeluang sendiri untuk menjaringkan gol tatkala hanya berdepan dengan penjaga gol Kilanas FC Abdul Rahman @ Hazmie Hayat Emzah tetapi memilih untuk melorongkan bola kepada Md Amirul Zafrey.

Kemurahan hati Md Hakeem Keri itu kemudiannya terbalas apabila beliau berjaya menjaringkan gol kelima LLRC FT empat minit kemudian, sekaligus meranapkan peluang kebangkitan Kilanas FC.
Dengan kemenangannya itu LLRC kini di tangga kelima dengan 11 mata daripada enam permainan, hanya satu mata di belakang MS ABDB di tangga keempat bagi menjatuhkan QAF FC (9 mata) ke tangga keenam. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment