Monday, May 12, 2014

Wijaya tambah derita Jerudong FC


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Dua gol sepakan penalti Abang Md Fakhri bin Abang Jaludin menghadiahkan kemenangan 2-1 Wijaya FC ke atas Jerudong FC malam tadi dalam persaingan sengit Liga Super DST-NFABD di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB).

Abang Md Fakhri menghasilkan gol pertama peribadi dan pasukannya setelah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk membawa pasukannya, Wijaya FC, di depan dengan jaringan 1-0, dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.

Namun dua minit selepas rehat kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas Md Asnawi Syazni bin Abdul Aziz bijak menggunakan peluang untuk merembat bola masuk menggegar gawang Wijaya FC.
 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/05/PAGE20-FC_1205023125468.jpg

Aksi cemerlang Marhazif Wijaya FC semasa menentang Jerudong FC, semalam.

Ketika perlawanan hampir tamat pada kedudukan 1-1, Jerudong FC melihat satu mata terlepas dari cengkamannya apabila pengadil sekali lagi menghadiahkan sepakan penalti kepada Wijaya FC
.
Abang Md Fakhri sekali lagi tampil untuk mengambil sepakan penalti itu dan seperti sepakan penalti pertamanya, dia turut berjaya menyudahkan sepakan penalti keduanya itu bagi memberikan gol kedua Wijaya FC tatkala masa sebenar perlawanan hanya berbaki satu minit lagi.

Perubahan jaringan kepada 2-1 pada minit ke-89 itu memberikan tamparan hebat buat Jerudong FC, dan walaupun belum patah semangat dengan terus berusaha mencari gol penyamaan, malam tadi tetap menjadi milik Wijaya FC untuk mengutip tiga mata penuh sekaligus memberikan kekalahan kedua Jerudong FC dalam tempoh tiga hari.

Kemenangan pada perlawanan ke-13 itu membawa Wijaya FC naik satu anak tangga dengan 17 mata, menggantikan LLRC FT di tangga kelima, manakala Jerudong FC terus menghuni tangga tercorot dengan empat mata selepas melalui sembilan perlawanan.

No comments:

Post a Comment