Tuesday, June 3, 2014

Indera SC belasah Jerudong FC


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Indera SC menjarakkan dirinya empat mata semula di puncak Liga Super DST-NFABD 2014 dengan kemenangan jitu 6-0 ke atas pasukan yang baru saja mengecapi kemenangan pertamanya pada 28 Mei lalu iaitu Jerudong FC.

Masih memiliki satu perlawanan dalam tangan berbanding pencabar terdekatnya, MS ABDB, yang kini mencatat 28 mata dari 13 permainan, Indera SC malam tadi bermula goyah dengan hanya berjaya
menghasilkan satu gol, hasil jaringan pertahanan tinggi lampainya, Reduan bin Haji Petra, pada minit ke-36.

Jaringan itu menjadi pencetus kepada lima lagi jaringan Indera SC di separuh masa kedua, dengan dua daripadanya menghasilkan rekod peribadi cemerlang buat Reduan, yang walaupun bermain di posisi pertahanan tetapi masih berjaya menjaringkan hatrik buat pasukannya.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE24_0306023247668.jpg


Pertahanan tinggi lampai Indera SC Reduan menghasilkan hatrik dalam kemenangan 6-0 pasukannya ke atas Jerudong FC.

Mohd Khairul Anwar bin Abdul Rahim menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-63, diikuti dengan jaringan Abdul Khair bin Haji Basri lima minit kemudian untuk merubah kedudukan kepada 3-0.

Selang lima minit selepas itu, kedudukan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menjadi 4-0 apabila giliran Md Zulkhairy bin Razali pula menyumbangkan gol buat pasukannya.

Reduan menjaringkan gol kedua peribadinya malam tadi bagi gol kelima Indera SC pada minit ke-81 dan kemudiannya melakukan sesuatu yang jarang berlaku kepada pertahanan apabila berjaya menghasilkan hatrik tujuh minit kemudian, sekaligus memuktamadkan perlawanan dengan jaringan 6-0.

Selepas perlawanan malam tadi, Indera SC kini mengumpul 32 mata dari 12 perlawanan, diikuti MS ABDB di tangga kedua dengan 28 mata dari 13 perlawanan, dan MS PDB di tangga ketiga dengan 22 mata dari 12 perlawanan.

No comments:

Post a Comment