Friday, June 27, 2014

Jerudong FC, Najip akhiri musim tanpa gol

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Jerudong FC menamatkan kempennya dalam Liga Super DST-NFABD musim ini dengan keputusan seri tanpa jaringan dengan pasukan di tangga ketiga, Najip FC malam tadi.

Pada perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah berkenaan, Jerudong FC yang lebih banyak melakukan serangan-serangan bahaya, cuma saja penyudah yang tumpul menggagalkan Jerudong FC dari mendapatkan gol.

Najip FC yang perlu menang untuk mendekatkannya hanya dua mata di belakang pasukan di tempat kedua, MS ABDB (31 mata) dengan jumlah permainan yang sama iaitu 14 permainan, jelas kurang menyerlah malam tadi dan Jerudong FC yang jelas lebih layak untuk menang.

Di hujung permainan iaitu pada masa kecederaan, pemain Jerudong FC, Reniel bin Ruani telah dibuang padang, namun kelebihan seorang pemain hanya pada masa kecederaan jelas tidak memberikan sebarang kelebihan kepada Najip FC untuk sempat mencatatkan jaringan, maka perlawanan berkesudahan mengecewakan penonton dengan jaringan 0-0.

Keputusan seri itu hanya menaikkan mata Najip FC dari 26 mata kepada 27 mata, empat mata di belakang MS ABDB. Kedua-dua pasukan masih mempunyai baki dua permainan termasuk pertembungan di antara keduanya pada September nanti.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/p21_2_20140627.jpg
Aksi Jerudong FC (biru) dengan Najip FC di Padang & Balapan, KSNHB yang berkesudahan
seri tanpa jaringan.
 
Maka Najip FC masih berpeluang untuk meraih gelaran naib juara, dengan syarat ia mesti menewaskan MS ABDB September nanti di samping mengalahkan Indera SC di perlawanan berikutnya, dan kemudiannya mengharapkan Indera SC membantunya dengan menewaskan MS ABDB di perlawanan penutup Liga Super September nanti.

Jerudong FC menamatkan kempennya musim ini dengan 12 mata hasil dari 2 menang, 6 seri dan 8 kalah, untuk menduduki tempat kelapan Liga Super, lima mata di depan Kilanas FC di tangga kesembilan dan hanya dua mata di belakang Wijaya FC di tangga ketujuh. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment