Wednesday, June 11, 2014

LLRC FT kukuh kedudukan


Oleh Hasrulraizan

TUTONG, 10 Jun – LLRC FT mengukuhkan kedudukannya di tangga kelima Liga Super DST-NFABD 2014 apabila menewaskan pencabar terdekatnya di tangga ke-6, Wijaya FC, dengan jaringan 2-1 di Kompleks Sukan Tutong malam tadi.

Jika sebelum perlawanan malam tadi, Wijaya FC hanya satu mata di belakangnya, kini LLRC FT empat mata di depan setelah mengumpul 21 mata dari 15 permainan berbanding 17 mata dari 15 permainan bagi Wijaya FC.

Kemenangan itu juga mendekatkannya hanya dua mata di belakang pasukan di tangga ke-4, Najip FC, namun Najip FC baru melalui 12 permainan iaitu kelebihan dua permainan dalam tangan berbandingnya.

Apa yang menarik dari perlawanan malam tadi berkenaan ialah kesemua tiga gol terhasil di separuh masa pertama bermula dengan jaringan Jersi 13 LLRC FT, Awangku Md Azrul Ariffin bin Pengiran Matussin pada minit ke-13.

Penyerang muda berbakatnya, Awangku Md Haikal bin Pengiran Zaidi, yang baru saja mencapai usia 20 tahun tepat dua bulan yang lalu, terus menyumbangkan gol buat LLRC FT, kali ini untuk gol kedua LLRC FT, pada minit ke-27.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/06/PAGE20-FC_1106101022841.jpg

Ak Md Haikal (duduk kiri) dan Ak Md Azrul Ariffin (duduk kanan) masing-masing menjaringkan satu gol dalam kemenangan 2-1 LLRC FT ke atas Wijaya FC.

Separuh masa pertama hampir berakhir dengan kelebihan dua jaringan berpihak kepada LLRC FT, namun seminit berlalu di masa kecederaan, Sigit Prasetia menghidupkan semula semangat rakan-rakannya apabila berjaya menggegar gawang LLRC FT untuk merubah kedudukan kepada 1-2 untuk dibawa ke separuh masa kedua.

Kedudukan di tiga tangga teratas Liga Super masih tidak berubah dengan Indera SC di puncak mengumpul 35 mata dari 13 permainan, diikuti rapat MS ABDB dengan 34 mata dari 15 permainan, manakala MS PDB di tangga ketiga dengan 25 mata dari 13 permainan.

No comments:

Post a Comment