Thursday, September 4, 2014

Indera SC juara Liga Super


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept. – Tujuh gol pada babak pertama dan hanya satu gol pada babak kedua dalam perlawanan antara Indera SC dengan QAF FC semalam membuka semula persaingan Liga Super DST-NFABD yang terhenti lebih dua bulan, sekali gus mengesahkan Indera SC sebagai juara ketika masih ada baki dua perlawanan.

Ketua Pasukan HBT 2014 Brunei Darussalam, Md Nur Ikwan bin Othman membuka jaringan Indera SC pada minit kesembilan, yang tiga minit kemudian pantas berubah menjadi 2-0 apabila Abdul Khair bin Haji Basri pula meledakkan bola ke gawang QAF FC.

QAF FC tidak menunggu lama untuk merapatkan jurang apabila Hardi Anak Bujang menghasilkan gol tunggal QAF FC pada minit ke-15 bagi merubah kedudukan kepada 1-2.

Ketika QAF FC dijangka bangkit untuk menyamakan kedudukan, Indera SC yang hanya memerlukan seri dalam perlawanan ke-14nya musim ini terus menyerang sehingga mencatatkan gol ketiga pada minit ke-22 menerusi jaringan Md Khayrun bin Salleh.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/09/PAGE20-FC_0409023243710.jpg

Hamizan Aziz ketika menjaringkan hatrik dan gol ketujuh Indera SC ketika menang 7-1 ke atas QAF FC untuk muncul juara Liga Super 2014.

Gol Khayrun seolah-olah menjadi pembuka pintu gawang QAF FC apabila Indera SC menyumbat tiga gol lagi menerusi dua jaringan Hamizan Aziz bin Sulaiman pada minit ke-30 dan ke-34, sebelum babak pertama ditutup dengan jaringan 6-1 oleh pemain pertahanan HBT201 Brunei Darussalam, Reduan bin Haji Petara.

Separuh masa kedua berlangsung lebih sengit dengan QAF FC lebih agresif menyerang sehingga beberapa kali berjaya menerobos kawasan bahaya namun kegagalan memanfaatkan peluang menceritakan nasib tidak baik QAF FC semalam.

Tiada gol lagi terhasil dalam tempoh 45 minit separuh masa kedua, dan ketika perlawanan dijangka selesai dengan jaringan 6-1, Hamizan Aziz melengkapkan hatrik pada masa kecederaan dan itulah yang berjaya dilakukannya secara solo dengan lariannya dari sayap kanan sebelum mematah bola ke kirinya melepaskan diri dari Mushready bin Chuchu.

Hamizan Aziz kemudiannya melepaskan diri dari Saiful Arizal bin Haji Ishak yang melakukan bentesan untuk memasuki kotak QAF FC dengan mematah bola ke kanan sebelum melakukan ‘dummy’ rembatan kaki kanan yang dipatahnya semula ke kiri untuk melakukan rembatan kencang kaki kiri menuju sebelah kiri bawah gawang QAF FC yang berjaya ditepis Junaidi bin Akim tetapi bola tetap menerjah gawang.

Dengan ini, QAF FC menamatkan musim ini dengan 17 mata untuk menduduki tangga keenam, tiga mata di depan pasukan di tangga ketujuh Wijaya FC  yang dibelasahnya 8-0 pada 25 Jun lalu.

Indera SC yang masih ada baki dua perlawanan iaitu menentang pasukan tangga ketiga, Najip FC (7 September) dan MS ABDB (13 September), kini mengumpul 40 mata, sembilan mata di depan MS ABDB (31 mata) di tempat kedua, yang juga masih mempunyai baki dua perlawanan termasuk menentang Najip FC petang ini.

Dengan mata maksimum yang mampu dicapai MS ABDB adalah 6 mata bagi mengumpul setinggi-tingginya 37 mata, maka kemenangan malam ini sudah menghadiahkan kejuaraan Liga Super kepada Indera SC.

No comments:

Post a Comment