Friday, September 5, 2014

MS ABDB naib juara Liga Super


BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – MS ABDB mengesahkan gelaran naib juara menjadi miliknya apabila memusnahkan harapan pesaing terdekat Najip FC dengan mengalahkannya 3-0, semalam.

Najip FC yang datang dengan 27 mata, hanya empat mata di belakang MS ABDB, perlu menang malam untuk merapatkan jurang kepada 1 mata, sebelum mesti menang ke atas Indera SC pada perlawanan terakhirnya musim ini pada 7 September dan mengharapkan Indera SC mengalahkan MS ABDB pada 13 September.

Kemenangan MS ABDB di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) terhasil melalui satu gol di hujung babak pertama dan dua gol di babak kedua, dengan gol pertama dihasilkan oleh Affendy bin Haji Akup pada minit ke-44.

Jaringan kedua MS ABDB pula dihasilkan oleh ketua pasukannya, Awangku Md Safri bin Pengiran Othman, manakala gol pemusnah semangat kebangkitan Najip FC hadir seminit sebelum perlawanan berakhir yang dijaringkan oleh Md Azizi bin Ali Rahman.

Dengan itu, MS ABDB kini mengumpul 34 mata iaitu enam mata di belakang Indera SC, pasukan yang baru sahaja mempertahankan kejuaraan Liga Super yang dijulangnya musim lalu melalui kemenangan 7-1 ke atas QAF FC pada 2 September lalu.

 http://mediapermata.brunei-online.com/wp-content/uploads/2014/09/PAGE20-FC_050910372487.jpg
Abdul Azizi (9) masih sempat menjaringkan gol ketiga MS ABDB pada minit ke-89 dalam kemenangan 3-0 ke atas Najip FC.

Juara dan naib juara Liga Super DST-NFABD 2014 akan bertemu pada perlawanan terakhir musim ini pada 13 September ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang mungkin hanya akan menjadi perlawanan untuk membuktikan pasukan mana yang berjaya mengakhiri kempennya penuh bergaya.

Kekalahan Najip FC mengesahkan kedudukannya selaku pemenang tempat ketiga Liga Super ketika ia masih memiliki baki satu perlawanan menentang Indera SC pada 7 September ini, kerana dua pasukan di tempat keempat dan kelima iaitu MS PDB dan LLRC FT sudah menamatkan kempen mereka dengan 23 mata. – Hasrulraizan

No comments:

Post a Comment