Search This Blog

Tuesday, January 6, 2015

MS ABDB juara Piala FA DST 2014

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – MS ABDB memerlukan dua pemain simpanannya menyerlah di separuh masa kedua dengan jaringan satu gol seorang untuk menang 2-0 ke atas Najip FC di perlawanan akhir Piala FA DST-NFABD 2014 malam tadi sekaligus mengekalkan Piala FA DST di kabinet pialanya setahun lagi. Ketika separuh masa pertama tidak menawarkan sebarang gol, MS ABDB membuat pertukaran berbaloi dengan memasukkan dua pemain utamanya yang baru pulih dari kecederaan pada masa berbeza di babak kedua untuk kedua-dua mereka membayar kepercayaan itu dengan ledakan gol pada minit ke-75 dan ke-90.

Jaringan pertama “Juara Bertahan” itu terhasil hanya beberapa minit selepas Soldadu Abdul Azizi bin Ali Rahman dimasukkan, melalui ledakan kaki kiri Soldadu Md Baharin bin Hamidon yang melepasi jangkauan tangan Fardillah bin Haji Md Ali sebelum mengenai sebelah dalam tiang gol kiri Najip FC dan melantun menggegar gawang.

Tempoh 15 minit sebelum perlawanan masa sebenar tamat cukup lama yang memungkinkan Najip FC untuk bangkit mencari gol penyamaan namun pertahanan MS ABDB bertahan kukuh sambil penjaga golnya,

Soldadu Md Tarmizi bin Haji Mat Johari bermain cemerlang menggagalkan percubaan-percubaan lawan.

Namun gol Soldadu Abdul Azizi tepat pada minit terakhir perlawanan, minit ke-90, jelas meranapkan aura harapan kebangkitan Najip FC sehinggakan tempoh 4 minit masa kecederaan yang diberikan hanya menyaksikan MS ABDB membuat hantaran-hantaran pendek dalam pendekatannya mengawal bola selama mungkin tatkala semangat para pemain Najip FC sudah hilang untuk sekurang-kurangnya mendapatkan bola kembali.



Juara Piala FA DST 2014, MS ABDB bersama Awang Lattif (tengah, berbaju hijau) bergambar ramai.



Kapten MS ABDB, Soldadu Affendy bin Haji Akup bangga menjulang Piala FA DST 2014 selepas menerimanya daripada Awang Lattif (kiri).



Najip FC tetap gembira walau sekadar muncul naib juara Piala FA DST 2014.

Najip FC sudah mencipta sejarah dengan kemaraannya ke final Piala FA DST berkenaan lebih-lebih lagi ia dilakukan dengan menewaskan Juara Liga Super DST 2014, Indera SC di perlawanan separuh akhir, namun perlawanan akhir ini jelas menampilkan lawan berbeza buatnya, yang menguasai sudut kecergasan lebih-lebih lagi di penghujung perlawanan dengan kemasukan dua penyerang bernafas baru.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah berkenaan dan kemudiannya sudi untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemain kedua-dua pasukan ialah Ahli Lembaga


Pengarah DST Communication Sdn Bhd, Awang Lattif bin Pehin Dato Haji Md Yussof sambil diiringi Pengerusi Pertandingan NFABD, Haji Md Noor bin Haji Hamid.

Selain menjulang Piala FA DST, MS ABDB turut menerima piala iringan juara, pingat emas dan wang tunai $5,000, sementara Najip FC membawa pulang piala iringan naib juara, pingat perak dan wang tunai $3,000.

1 comment: