BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Pasukan Bola Sepak Majlis
Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) baru-baru ini telah
mengadakan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Pencapaian Liga Super DST Musim
2015 yang diadakan di Hotel Star Lodge, Jerudong.
Pada kejohanan tersebut, pasukan MS ABDB telah menjuarai liga selepas
mengutip 49 mata menerusi 16 kali menang, satu seri dan satu tewas.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemerintah Tentera Udara Diraja
Brunei, Kolonel(U) Shahril Anwar bin Haji Ma’awiah yang juga selaku
Penaung Pasukan Bola Sepak MS ABDB.
Turut hadir, timbalan-timbalan pemerintah Angkatan Tentera ABDB dan
Komandan Institut Latihan ABDB, Kolonel Haji Abidin bin Haji Abdul
Hamid, selaku Pengerusi MS ABDB.
Kolonel(U) Shahril Anwar di majlis tersebut mengingatkan MS ABDB
bahawa antara komponen bagi meningkatkan keupayaan sesebuah pasukan
ialah menerusi latihan yang mantap dan berkesan. Tetamu kehormat bergambar ramai bersama warga MS ABDB yang telah memenangi Liga Super DST 2015.
Di sepanjang liga, Pasukan MS ABDB telah pun menunjukkan prestasi
yang cemerlang sehingga dianugerahkan sebagai pasukan ‘Fair Play’ buat
kali kedua dan diikuti dengan penganugerahan pemain terbaik yang
diberikan kepada Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman.
Di samping itu, dalam usaha untuk meningkatkan mutu bola sepak MS
ABDB, seorang jurulatih telah dihantar bagi mengikuti Kursus Jurulatih
Kelas C Bola Sepak dan Kursus Kecergasan FIFA yang diiktiraf oleh
Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan
Bola sepak Asia (AFC) yang dianjurkan oleh Persekutuan Bola Sepak
Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).
Dengan menghadiri kursus tersebut jurulatih berkenaan diharapkan
dapat mendidik dan melatih pemain-pemain MS ABDB dalam membuahkan hasil
permainan yang lebih mantap dan berkualiti.
Pada malam itu juga diselajurkan dengan Majlis Anugerah Pemain
Terbaik 2015 dan sebanyak tujuh anugerah telah diserahkan untuk pasukan
bagi mengiktiraf pencapaian dan kecemerlangan pemain-pemain sepanjang
tahun 2015 yang mana Sld Abdul Azizi bin Ali Rahman telah dianugerahkan
sebagai Pemain Terbaik Keseluruhan.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian sumbangan kerusi roda
daripada MS ABDB kepada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) yang
diserahkan oleh tetamu kehormat kepada Awang Tengah bin Ahmad dan pihak
Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang diwakili Dayang
Nordewati binti Abdul Wahab serta sumbangan alat-alat permainan serta
wang tunai kepada Yayasan Kanser Kanak-Kanak (YASKA) yang diserahkan
kepada Dr. Hajah Norehan binti Haji Johari.
No comments:
Post a Comment