Search This Blog

Friday, July 7, 2017

Liga DST kembali beraksi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai – Bermula Jumaat ini peminat bola sepak tanah air akan berpeluang menyaksikan sambungan Liga Super DST dan Liga Perdana DST setelah rehat lebih sebulan sempena bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Antara perlawanan dalam Liga Super DST adalah di antara pasukan Jerudong FC menentang Najip I-Team di kompleks Sukan Berakas dan akan diteruskan pada keesokannya di antara pasukan yang mendahului liga iaitu Kota Rangers FC yang akan menentang pasukan Wijaya FC di Kompleks Sukan Tutong.
Sementara itu, pasukan di tangga kedua liga Kasuka FC pula akan melayan pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (MS PDB) di Kompleks Sukan Berakas Sabtu nanti.
Ahad ini pula akan menyaksikan pasukan Tabuan Muda A menentang Lun Bawang di Kompleks Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah sementara Menglait FC pula akan berhadapan juara bertahan iaitu Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Darussalam (MS ABDB) di Kompleks Sukan Berakas.

Antara aksi liga DST yang diadakan musim ini.
Bagi Liga Perdana DST pula, saingan pada hari Jumaat bermula dengan aksi pasukan Rimba FC menentang Panchor Murai FC di Kompleks Padang dan Balapan Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, sementara pada hari Sabtu pasukan IKLS FC akan menentang pasukan Setia Perdana di Kompleks Sukan Sungai Kebun dan perlawanan akhir minggu ini akan menyaksikan Kelab Rekreasi Syarikat Minyak Brunei Shell (BSRC) akan menentang pasukan Tabuan Muda B di padang BSRC, Daerah Belait.
Isnin depan pula akan menyaksikan pasukan DSP United akan melayani pasukan Tunas FC di Kompleks Sukan Sungai Kebun, Mukim Lumapas.
Liga perdana DST akan berakhir akhir Ogos ini, sementara Liga Super DST akan memulakan pusingan keduanya pada satu tarikh yang akan dimaklumkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment