Search This Blog

Sunday, February 16, 2014

Kemenangan pertama MS ABDB


Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Liga Super DST-NFABD 2014 yang tergendala sementara pada Minggu Kedua selepas membuka tirainya dengan Piala Sumbangsih pada 19 Januari lalu, baru saja mengakhiri minggu ketiganya yang tertunda seminggu malam tadi.

Perlawanan terakhir Minggu Ketiga semalam menyaksikan MS ABDB menewaskan Kilanas FC di Balapan & Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) dengan jaringan 4-1.

Naib juara tahun lalu itu sudah mendahului 3-0 seawal minit ke-9 menerusi jaringan Soldadu Md Muhimin Rosmalee pada minit ke-5 dan ke-9, dan di antara dua golnya itu iaitu pada minit ke-7, Lans Koperal Md Arima Marali menjaringkan gol pertama peribadinya.



Kemenangan MS ABDB dengan jaringan 4-1 ke atas Kilanas FC malam tadi melonjakkan pasukan tentera itu ke tangga keempat Liga Super DST-NFABD 2014
.
Selain tiga gol pantas berkenaan, MS ABDB selepas itu gagal untuk menambah jaringan sehingga separuh masa pertama tamat, dan gol keempat mereka hanya hadir di babak kedua pada minit ke-75, hasil jaringan Lans Korporal Md Arima, tetapi sepuluh minit kemudian Kilanas FC mencantas pendahuluan MS ABDB menerusi jaringan Izzul Wazien Osman.

Kemenangan 4-1 itu membolehkan MS ABDB memanjat empat anak tangga ke tangga keempat dengan 3 mata, 6 jaringan, 4 bolos dan +2 perbezaan gol, diekori rapat LLRC FT yang baru sekali bermain, juga dengan 3 mata, 3 jaringan, 2 bolos dan +1 perbezaan jaringan, manakala Wijaya FC di tempat keenam dengan 3 mata, 2 jaringan, 2 bolos dan 0 perbezaan gol.

Tempat ketiga teratas kekal dihuni oleh MS Polis Diraja Brunei (PDB) yang belum dibolosi dengan 6 mata, 5 jaringan dan +5 perbezaan gol, disusuli Najip FC yang juga mengumpul maksimum 6 mata, 4 jaringan, 1 bolos dan +3 perbezaan gol, manakala Indera SC di tempat ketiga dengan 4 mata, 4 jaringan, 3 bolos dan +1 perbezaan gol.

Tangga ketujuh pula diduduki QAF FC dengan 2 mata, 3 jaringan, 6 bolos dan -3 perbezaan gol, diikuti Jerudong FC yang mengumpul 1 mata, 4 jaringan, 5 bolos dan -1 perbezaan gol, manakala Majra United dan Kilanas FC masing-masing belum mengutip sebarang mata setelah tewas kedua-dua perlawanan mereka setakat ini.

Majra United di kedudukan kesembilan kerana mempunyai perbezaan jaringan yang lebih tinggi iaitu -3 melalui tiada jaringan dan 3 bolos, berbanding Kilanas FC yang menjaringkan 1 gol dan dibolosi enam kali bagi perbezaan jaringan -5.

No comments:

Post a Comment